fbpx
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat. - Foto oleh AMRAN ALI/KOSMO!

Pemain bola sepak maut disambar petir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR GAJAH – Seorang pemain bola sepak maut dipercayai disambar petir ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan di Padang Kompleks Rakan Muda Lendu di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang itu, mangsa, R. Thanesh, 28, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Wad Kecemasan Hospital Alor Gajah.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian telah dilaporkan oleh pihak hospital pada pukul 8.50 malam memaklumkan seorang lelaki dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai disambar petir.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa menyertai perlawanan persahabatan antara Rembau Indian Veteran FC dan Tanjung Minyak FC yang bermula kira-kira pukul 5.30 petang.

“Lebih kurang 10 minit selepas perlawanan mula, cuaca mula hujan renyai dan kedengaran satu dentuman guruh yang kuat. Rakan mangsa kemudian melihat si mati bersama dua lagi individu rebah di atas padang,” ujarnya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, mangsa telah dibawa ke Hospital Alor Gajah menggunakan kenderaan awam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.

Tambahnya, seorang pengadil perlawanan turut terbabit dalam kejadian tersebut dan dihantar ke hospital menaiki ambulans bagi mendapatkan rawatan.

“Pemeriksaan awal pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah, namun terdapat kesan terbakar pada jari kaki hingga ke paras paha kiri.

“Mangsa turut mengalami kesan melecur pada bahagian bawah perut sebelah kiri, selain kesan kehitaman di belakang badan hingga ke paras punggung serta pendarahan pada telinga kanan,” ujarnya sambil memberitahu kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN