TANGKAK – Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yakin pengundi Cina mula memberi peluang kepada calon-calon MCA dan MIC pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini selepas kecewa dengan prestasi wakil rakyat terdahulu.
Beliau berkata, ia susulan dapatan kajian dalaman di Pusat Daerah Mengundi (PDM) menunjukkan berlaku peningkatan sokongan pengundi Cina terhadap calon-calon BN di beberapa kawasan yang ditandingi gabungan itu.
Menurutnya, perubahan sokongan itu berlaku selepas pengundi membuat penilaian terhadap prestasi wakil rakyat terdahulu yang tidak memenuhi harapan mereka.
“Kita memang meletakkan calon-calon underdog di kawasan-kawasan yang mempunyai banyak pengundi cina, tetapi mereka telah melihat bahawa wakil-wakil dahulu tidak memperlihatkan prestasi yang baik berbanding harapan yang mereka letakkan.
“Jadi, mereka memberitahu saya ‘Ini kalilah’ kepercayaan diberikan kepada calon-calon bukan UMNO iaitu MCA dan MIC untuk turut diberi tempat di 19 DUN,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada program ramah mesra masyarakat Cina bersama calon MCA bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tangkak, Haw Chin Teck di sebuah medan selera di sini, hari ini.
Terdahulu, pada PRN Johor kali ini, BN mempertaruhkan 56 calon yang terdiri daripada 37 calon UMNO, 15 calon MCA dan empat calon MIC bagi bertanding di kesemua 56 kerusi DUN.
Mengulas lanjut mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang menegur kelembapan pembangunan rumah mampu milik di Johor, Zahid berpandangan pembangunan perumahan di negeri itu telah dilaksanakan secara seimbang dan tidak hanya memfokuskan golongan M40 dan T10.
“Pembangunan seimbang turut membina rumah-rumah mampu milik dan terdapat peruntukan RM100 juta bagi pembinaan rumah-rumah tanpa bayaran, khusus untuk para asnaf.
“Ini merupakan satu optik yang baik dan dalam manifesto juga memperlihatkan bahawa satu jumlah yang lebih besar akan diperuntukan oleh kerajaan negeri dari revenue baharu yang diperoleh untuk membina rumah B40 di Johor,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE,














