BIARPUN mempunyai repertoire yang sudah melayakkannya untuk beraksi di pentas konsert sendiri, namun buat penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir, memanggung di pentas besar masih canggung buatnya.
Sepanjang dua dekad bergelar penyanyi, pelantun lagu Mahakarya Cinta itu baru mempunyai satu konsert solo yang dilaksanakan pada tahun 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Selepas tiga tahun, Hitman Solutions melamarnya untuk beraksi dalam sebuah konsert solo yang berskala besar. Kali ini, Unifi Arena Bukit Jalil bakal menjadi saksi sebuah sejarah baharu tercipta untuk Faizal. Konsert yang diberi nama Faizal Tahir: Suara Rakyat bakal berlangsung pada 3 Oktober 2026.
Menurut pengasas merangkap Pengarah Urusan Hitman Group, Rohit Tampal, pihaknya menunggu selama tiga bulan sebelum Faizal bersetuju untuk terlibat dengan konsert tersebut.
“Bila lamar Faizal untuk menganjurkan konsert ini, kita kemukakan sekali cadangan tema untuk konsert itu nanti iaitu ‘suara rakyat’.
“Faizal ialah seorang penyanyi yang mencerminkan rakyat Malaysia. Karyanya bukan sekadar hiburan semata-mata tetapi memberi mesej dan impak yang baik kepada masyarakat khususnya rakyat Malaysia.
“Sumbangan dan impaknya sangat besar dalam sejarah muzik Malaysia selama lebih dua dekad. Justeru konsert ini akan menjadi yang paling ikonik dan istimewa daripada Hitman Solutions sebagai tanda apresiasi bukan hanya kepada Faizal tetapi peminat yang selama ini kekal bersamanya dari dulu hingga kini,” katanya.
Sementara itu, bagi Faizal atau nama lengkapnya Ahmad Faizal Mohammad Tahir, 48, sukar untuk menolak pelawaan Hitman yang disifatkannya sebagai bulan jatuh ke riba.
“Mereka tak henti-henti datang hantar kertas kerja pada saya untuk buat konsert ini. Lama juga masa yang saya ambil untuk buat keputusan. Tetapi di pengakhirannya, jika tawaran itu bagus kenapa kita perlu tolak?

“Saya sendiri tak pernah terfikir akan konsep ‘suara rakyat’. Tetapi bila difikirkan semula, kebanyakan lagu saya yang memberi impak besar adalah lagu-lagu yang berunsur patriotik seperti Negaraku, Malaysia, Semangat Juara dan Gemuruh.
“Saya percaya bila Allah anugerahkan kita bakat tetapi kita tak gunakan sebaik mungkin atau kongsikan dengan orang ramai, maka kita tak menggunakan anugerah itu dengan baik. Rasa macam berdosa bila tak gunakan bakat yang Allah bagi untuk dikongsikan,” jelasnya.
Ditanya adakah lokasi yang lebih besar iaitu lokasi di Unifi Arena merupakan salah satu faktor kenapa dia bersetuju untuk terlibat dengan konsert ini, Faizal menyangkal dakwaan itu.
“Sebenarnya salah satu faktor yang membuatkan saya tolak pada awalnya untuk terlibat dengan konsert ini adalah lokasinya. Saya kurang yakin untuk beraksi di lokasi sebesar ini.
“Saya pun bukan artis yang selalu buat konsert. Saya lebih gembira melakukan persembahan korporat. Mungkin saya sudah terlalu selesa melakukan persembahan korporat kerana lebih mudah. Tak perlu fikir tentang jualan tiket.
“Lainlah kalau artis-artis legenda seperti Datuk M. Nasir, Ella atau Wings yang sudah sering buat konsert. Mereka ada pengikut tersendiri.
“Tetapi Hitman Solutions berjaya yakinkan saya, tiket boleh jual. Jadi menjadi tanggungjawab mereka untuk pastikan tiket terjual,” ujarnya.
Sejak mengumumkan tentang penganjuran konsert ini, ramai juga peminat yang tertanya-tanya siapa artis undangan yang akan beraksi bersamanya memandangkan Faizal sering berkolaborasi dengan artis tempatan.
Ramai juga yang mengharapkan untuk melihat gandingannya dengan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mendendangkan lagu Dirgahayu.
“Setakat ini kita belum tentukan lagi siapa penyanyi jemputan. Kalau Datuk Seri Siti berkelapangan dan sudi untuk menjadi artis undangan saya, saya lebih daripada gembira. Tetapi saya tak mahu beliau lakukan kerana terpaksa,” katanya.
Bagi peminat yang ingin mendapat tiket, boleh layari laman rasmi www.hitmanlive.com.















