PASIR MAS – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menculik seorang lelaki dan mencuri sebuah kereta di Tendong dekat sini pada bulan lalu.
Tertuduh, Syamsul Azroy Che Anuar, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu bersama tiga lagi yang masih bebas didakwa menculik Mohd. Shahrul Nizam Mohd. Asri, 35, dengan niat untuk mengurung mangsa secara rahsia dan salah di sebuah rumah di Tendong di sini kira-kira pukul 3.30 petang pada 6 Jun lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua, Syamsul Azroy bersama tiga individu sama yang masih bebas dituduh mencuri sebuah kereta jenis Volkswagen Jetta milik Mohd. Taufik Mohd. Asri, 25, pada masa, tarikh dan lokasi yang sama dan kes didakwa mengikut Seksyen 379 (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 16 Jun lalu dan denda RM3,000 selain tambahan tempoh pemenjaraan tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Bagi pertuduhan kedua, mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3,000 selain tambahan tempoh pemenjaraan tiga bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Hukuman pemenjaraan bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan. – KOSMO! ONLINE














