fbpx
SEMANGAT melihat peminat yang tidak putus menyokong, Zamani mengetepikan rasa sakit ketika beraksi di konsert The Grand Slam Unplugged 2.

‘Rasa sakit lagu kedua terakhir, saya takut, sebak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELAYANG – Mampu berdiri sepanjang hampir dua jam konsert berlangsung bukanlah satu tugas mudah, terutamanya bagi penyanyi Zamani yang hampir kecundang menjelang penghujung persembahan akibat faktor kesihatan.

Namun, pemilik nama lengkap Zamani Ibrahim, 55, mengakui kehadiran dan sokongan peminat yang membanjiri konsert menjadi semangat buat dirinya untuk terus bertahan.

“Sebenarnya kalau nak ikutkan, saya sudah mula rasa (sakit) sewaktu masuk lagu yang kedua terakhir.

“Ketika itu saya sudah mula rasa sebak dan takut tak boleh nak habiskan persembahan sebab tenaga saya betul-betul dah habis.

“Namun, alhamdulillah semangat itu datang daripada peminat. Saya sangat menghargai mereka dan kehadiran merekalah yang memberikan saya kekuatan luar biasa pada malam itu.

“Sebelum ini saya pernah buat persembahan secara duduk, jadi untuk konsert kali ini, selagi saya mampu berdiri dengan kekuatan sendiri, saya akan lakukan,” katanya kepada Kosmo! Online semasa sidang media showcase Jiwa Rasa di Asam Pedas London, baru-baru ini.

Dalam masa sama, anggota kumpulan Slam itu menegaskan keputusan untuk kekal berdiri sepanjang konsert adalah atas dasar menghormati penonton yang sanggup hadir demi menyokongnya.

“Kalau boleh saya memang tak nak duduk. Bukan sebab sombong, tapi selagi boleh berdiri, saya akan usaha berdiri

“Mungkin itu salah satu sebabnya, selebihnya saya bersyukur kepada Allah kerana diberi rezeki untuk menyampaikan persembahan seperti itu,” jelasnya.

Ditanya rahsia di sebalik stamina yang luar biasa, pelantun lagu Syair Si Pari-Pari itu semuanya berlaku disebabkan hasil persediaan rapi di studio latihan selama lebih sebulan.

“Tak ada rahsia apa-apa pun. Sebenarnya saya berlatih setiap hari. Untuk konsert itu, kami habiskan masa sebulan lebih di studio.

“Kami berlatih setiap hari dari jam 12 tengah hari hingga 7 malam,” kongsinya.

Sebelum ini, Zamani menjayakan konsert The Grand Slam Unplugged 2 bersama kumpulannya pada 20 Jun lalu.

Seramai 4,000 pengunjung yang hadir bagi menyaksikan persembahan Slam bersama beberapa gitaris terkenal seperti Aznan Alias, JoBranko dan Kid Search bagi menambah seri persembahan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN