PETALING JAYA – Kerajaan Republik Islam Iran menzahirkan penghargaan terhadap pendirian Malaysia yang kekal konsisten dalam menyokong keamanan, keadilan serta menghormati kedaulatan setiap negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penghargaan itu disampaikan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan Pemangku Menteri Pertahanan dan Logistik Iran, Brigadier Jeneral Seyyed Majid Ebn-e-Reza.
Menurut beliau, dalam pertemuan itu, wakil kerajaan Iran turut menyatakan penghargaan terhadap pendirian Malaysia yang sentiasa menyokong usaha mewujudkan keamanan dan kestabilan.
“Beliau menzahirkan penghargaan atas pendirian Malaysia yang sentiasa konsisten menyokong keamanan, keadilan dan menghormati kedaulatan setiap negara,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Pertemuan kedua-dua pemimpin itu diadakan ketika Mohamad menjadi wakil Kerajaan Malaysia pada upacara pengebumian rasmi Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Seyed Ali Khamenei, di Tehran.
Mengulas lanjut, beliau turut berkongsi pandangan bahawa apa yang berlaku di Iran bukan hanya melibatkan sebuah negara, malah menyentuh maruah serta kepentingan umat Islam di seluruh dunia.
Kata Mohamad, usaha menegakkan keamanan, keadilan dan saling menghormati perlu terus diperkukuhkan melalui dialog serta hubungan diplomatik yang baik.
“Semoga hubungan persahabatan antara Malaysia dan Iran akan terus diperkukuhkan demi keamanan, kestabilan serantau serta kesejahteraan bersama,” katanya. – KOSMO! ONLINE














