TEMERLOH – Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandu hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh sebuah gerai menjual buah-buahan di Kilometer 1, Jalan Temerloh-Mentakab, di sini petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.05 petang itu, mangsa, Mohd. Zaihajarindera, 46, mengalami kecederaan di bahagian muka dan menerima rawatan di Zon Kuning, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) di sini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron, berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Wira Aeroback yang dipandu mangsa dari arah Temerloh menghala ke Mentakab hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum merempuh gerai.
“Kereta itu turut melanggar sebatang tiang elektrik dan sebuah Proton Wira Aeroback yang diletakkan berhampiran, menyebabkan kereta mangsa rosak pada bahagian hadapan dan belakang,” katanya hari ini.
Beliau berkata, mangsa dibawa ke Hoshas oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca akibat kecuaian pemandu yang gagal mengawal kereta ketika memandu.
Kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59. Rakaman percakapan pemandu akan diambil, manakala saksi yang melihat kejadian itu sedang dikesan bagi membantu siasatan.- KOSMO! ONLINE














