fbpx
Jutaan kelawar keluar dari Gua Rusa dan bergerak seperti gelombang (kiri).

Ekspedisi jejak ‘tarian’ kelawar di langit Mulu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERJALANAN penulis dari Park Headquarters Gunung Mulu National Park, Sarawak bermula dengan menyusuri laluan papan yang membelah hutan hujan khatulistiwa Borneo.

Laluan sejauh kira-kira tiga kilometer yang memakan masa sekitar satu jam itu disertai dengan aktiviti memerhati ekosistem hutan masih terpelihara.

Jarak perjalanan yang agak panjang tidak langsung membebankan, sebaliknya digantikan dengan kesegaran udara hutan yang jauh berbeza daripada suasana bandar.

Ia turut menjadi permulaan ekspedisi bersama media anjuran Sarawak Tourism Board (STB) yang membawa peserta meneroka Gua Rusa dan Gua Lang.

Untuk pengetahuan, Gua Rusa dan Gua Lang terletak di dalam kawasan Gunung Mulu National Park yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 2000 kerana unikan dari segi geologi, biodiversiti dan sistem gua batu kapur.

Sebaik tiba di kawasan gua, rombongan terlebih dahulu dibawa meneroka Gua Lang. Ia sebuah gua yang lebih kecil, namun memukau dengan pelbagai formasi batu kapur yang terbentuk secara semula jadi sejak berjuta-juta tahun lalu.

Bunyi titisan air yang bergema di segenap ruang gua, ditambah dengan suhu dingin, menjadikan suasananya begitu tenang.

Namun, pengalaman kami pada hari itu sedikit berbeza apabila sistem pencahayaan di dalam gua terpadam.

Keadaan itu menyebabkan kami hanya bergantung pada lampu kepala yang disediakan untuk meneruskan penerokaan.

Penulis (tiga daripada kiri) bersama wakil media lain sebelum memulakan ekspedisi
di Gunung Mulu, Sarawak baru-baru ini.

Menurut jurupandu pelancong Mulu Marriott Resort & Spa, Steve Duloi, Gua Lang merupakan antara gua yang paling mudah diterokai di Gunung Mulu National Park dengan masa sekitar 10 hingga 15 minit.

“Walaupun bersaiz kecil, gua ini menampilkan formasi batu kapur seperti stalaktit, stalagmit dan tiang batu yang terbentuk secara semula jadi sejak jutaan tahun lalu,” katanya.

Setelah selesai, kami menuju ke Gua Rusa yang diiktiraf sebagai salah satu gua terbesar di dunia dari segi volum ruang dalaman.

Berbeza dengan Gua Lang yang lebih kecil dan bersifat lebih intim, Gua Rusa memperlihatkan skala yang jauh lebih megah seolah-olah berada dalam sebuah ruang katedral semula jadi yang terbuka luas.

Menjelang senja, rombongan bergerak ke kawasan Bat Observatory iaitu lokasi terbaik untuk menunggu detik paling dinantikan dalam ekspedisi ini.

Langit yang pada awalnya cerah perlahan-lahan bertukar keemasan, sebelum suasana menjadi semakin tenang seolah-olah seluruh hutan sedang menunggu.

Tidak lama kemudian, kelihatan pergerakan di ‘mulut’ Gua Rusa sebagai tanda awal kepada fenomena luar biasa yang bakal berlaku.

Secara perlahan, satu aliran gelap mula terbentuk di langit sebelum berubah menjadi lautan hidup yang berputar dan memanjang.

Tiba-tiba jutaan kelawar keluar dari Gua Rusa dalam formasi besar, bergerak seperti gelombang yang tidak putus-putus merentasi langit senja Borneo.

Fenomena dikenali sebagai bat exodus itu berlangsung hanya beberapa minit, namun cukup untuk meninggalkan pengalaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata.

Formasi kelawar yang berpusing di udara bukan sahaja mengelak pemangsa, tetapi turut mencipta koreografi alam semula jadi yang mengagumkan di langit terbuka.

Menurut Duloi, Gua Rusa menjadi habitat kepada lebih tiga juta ekor kelawar daripada beberapa spesies termasuk kelawar ekor bebas (Wrinkle-lipped Free-tailed Bat).

“Fenomena ini merupakan antara pertunjukan alam semula jadi paling terkenal di Malaysia, dengan kelawar keluar dalam formasi berpusing dan memanjang sebelum berpecah mencari makanan.

“Selain itu, gua ini juga menjadi tempat tinggal jutaan burung layang-layang gua,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN