SEBERANG PERAI – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong mahu permohonan pembiayaan koperasi yang memenuhi syarat diproses dan diluluskan dalam tempoh seminggu bagi memastikan peruntukan kerajaan dapat dimanfaatkan tanpa kelewatan.
Katanya, Suruhanjaya Koperasi (SKM) bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) perlu mempercepatkan proses kelulusan supaya koperasi dapat segera menggunakan dana berkenaan untuk mengembangkan perniagaan.
“Saya mahu SKM dan Kuskop mempercepatkan proses ini. Jangan tunggu berbulan-bulan atau berminggu-minggu.
“Jika permohonan lengkap dan memenuhi syarat, saya mahu ia diluluskan dalam tempoh seminggu,” katanya ketika merasmikan Hari Koperasi Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di PICCA @ Butterworth Arena, di sini hari ini.
Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan RM254 juta kepada gerakan koperasi tahun ini, iaitu jumlah terbesar pernah disediakan dalam sejarah lebih 100 tahun sektor koperasi negara, dengan RM53 juta telah pun diluluskan kepada koperasi yang layak. – KOSMO! ONLINE














