Dua pemandu yang ditahan selepas didapati positif dadah dalam operasi bersepadu di Plaza Tol Gombak, hari ini. Foto IHSAN JPJWPKL

JPJ keluar 75 notis, dua pemandu ditahan positif dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – Dua pemandu kenderaan perdagangan ditahan kerana disyaki positif dadah dalam operasi bersepadu yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Plaza Tol Gombak, di sini hari ini.

Selain JPJ, operasi itu turut disertai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pemandu lori berusia 31 tahun dan pemandu kereta sewa berusia 41 tahun itu dikesan positif dadah menerusi ujian saringan air kencing.

“Seramai 74 pemandu menjalani ujian saringan air kencing. Daripada jumlah itu, dua individu didapati positif dadah dan ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamidi berkata, sekiranya didapati bersalah, pihaknya akan mengambil tindakan menggantung lesen memandu mengikut Seksyen 36 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pada masa sama, katanya, sebanyak 228 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 43 daripadanya diambil tindakan atas pelbagai kesalahan di bawah APJ dan peraturan-peraturan berkaitan.

“Sebanyak 75 notis dikeluarkan, manakala sebuah bas henti-henti disita untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Sementara itu, Motac turut mengesan satu kes membabitkan kegagalan menggunakan khidmat pemandu pelancong dan kes disiasat di bawah Peraturan 6(1)(i)(iii) dibaca bersama Peraturan 6(2) Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992.

Katanya, JPJ tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemandu yang positif dadah kerana penyalahgunaan bahan terlarang dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN