PONTIAN – Wanita Barisan Nasional (BN) mahu semua calon wanita parti itu menggandakan usaha mendekati pengundi pada minggu terakhir tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, tempoh kritikal menjelang hari pengundian perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan semua pengundi di kawasan masing-masing dapat disantuni dengan baik.
Menurut beliau, pihaknya optimis kesemua 12 calon wanita yang diketengahkan BN mampu memperoleh sokongan pengundi sekali gus membantu mempertahankan kerajaan negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
“Jentera kami memberi fokus kepada semua kawasan sama ada di bandar, separa bandar mahu pun kampung bagi memastikan pengundi lebih mengenali calon-calon yang bertanding.
“Sama ada kawasan panas atau sejuk, menjadi tanggungjawab setiap calon untuk turun padang dan mendekati pengundi sebelum tempoh kempen berakhir,” katanya selepas program Ziarah Kasih di Taman Harta Indah, di sini hari ini. Turut mengiringi program tersebut ialah calon dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulai Sebatang, Hasrunizah Hassan.
Pada PRN Johor ke-16, BN meletakkan 56 calon terdiri daripada muka baharu dan penyandang bagi mempertahankan 40 kerusi DUN yang dimenangi pada pilihan raya negeri 2022.
Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, Wanita BN yakin prestasi cemerlang yang ditunjukkan wakil rakyat wanita sebelum ini mampu menarik sokongan pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat. – KOSMO! ONLINE














