KLUANG – Barisan Nasional (BN) diharapkan mampu mencatat kemenangan besar melebihi majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 pada 11 Julai ini sekali gus menjadi petanda sokongan rakyat terhadap gabungan itu semakin kembali pulih.
Exco Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Nazifuddin Mohd. Najib berkata, kemenangan besar itu bukan sekadar penting kepada Johor, malah disifatkan mampu menghantar mesej jelas bahawa keyakinan rakyat terhadap BN semakin meningkat di seluruh negara.
Menurutnya, naratif dimainkan pihak lawan yang mengaitkan kemenangan besar BN dengan isu pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah tidak berasas dan cuba mengelirukan rakyat.
“Naratif pihak sebelah sana yang mendakwa kemenangan besar BN di Johor akan membawa kepada pembebasan Datuk Seri Najib tidak mempunyai kaitan langsung kerana tiada pertukaran Perdana Menteri berlaku.
“Ia merupakan hak mutlak Yang di-Pertuan Agong sama ada untuk memberikan pembebasan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita selepas Program Bual Bicara Santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu II di sini malam tadi. Turut hadir Ketua PDM Kampung Melayu II, Abdul Halim Mohd Dom.
Mengulas lanjut, Nazifuddin berkata, sekiranya Najib dibebaskan kelak, perkara itu pasti akan menggembirakan ramai pihak yang terus meletakkan harapan terhadap bekas Presiden UMNO itu. – KOSMO! ONLINE














