REMBAU – Seorang pelajar Kolej Vokasional Dato’ Lela Maharaja maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah kereta di Kilometer 32.2 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Simpang Penajis-Chengkau, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 pagi itu, mangsa, Muhammad Haziq Afiq Mohd. Shahril, 18, pelajar semester satu, Diploma Agro Industri Ruminan disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada badan. Ini menjadikan kemalangan maut ketiga di lokasi tersebut sejak pertengahan April tahun ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, kemalangan membabitkan motosikal jenis Yamaha LC yang ditunggang mangsa dengan sebuah kereta Honda City dipandu seorang guru wanita berusia 49 tahun.
“Ketika kejadian mangsa sedang menunggang motosikal dari arah Tampin menghala ke Rembau, manakala kereta dipandu wanita terbabit datang dari arah bertentangan.
“Siasatan awal mendapati, ketika mangsa meneruskan perjalanan di lorong kiri, pemandu kereta dipercayai membelok ke kanan untuk memasuki Simpang Penajis-Chengkau sebelum motosikal mangsa gagal mengelak lalu merempuh bahagian kereta tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini, hari ini.
Ujar Azmi, akibat pelanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu dan penumpang kereta cedera. Dua lagi penumpang di bahagian belakang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut Azmi lagi, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta ketika membelok masuk ke simpang. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Caption: SEORANG pelajar kolej maut selepas motosikal ditunggang melanggar kereta membelok simpang di kilometer 32.2 Jalan Seremban-Tampin berhampiran Simpang Penajis-Chengkau, di sini, pagi tadi.














