fbpx
Devi (tengah) bersama Shantiya (kanan) menunjukkan gambar Arun yang maut dalam kejadian di Pekan Nanas, Pontian pada 21 Mei lalu.

Kes tetak Pekan Nanas: ‘Akhirnya dia sendiri jadi mangsa keganasan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Masa depan seorang pemuda berusia 22 tahun berakhir dalam sekelip mata apabila dia disyaki dibunuh dengan kejam dalam kejadian di hadapan sebuah kedai makan di Pekan Nanas, Pontian, Johor pada 21 Mei lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.55 pagi itu, mangsa, R. Arun Kumar, meninggal dunia selepas dipercayai dipukul sekumpulan individu yang dikaitkan dengan kegiatan kongsi gelap.

Lebih memilukan, pemuda itu menghidap penyakit jantung kongenital sejak kecil, namun tetap menjalani kehidupan dengan penuh sabar selain dikenali sebagai individu yang baik hati dan tidak suka menimbulkan masalah.

Sepupu mangsa, K. Shantiya, 26, berkata, sehingga kini keluarganya masih sukar menerima pemergian mengejut Arun yang disifatkan sebagai seorang yang sentiasa mengutamakan keluarga.

“Dia tidak pernah mencari masalah atau sengaja mencetuskan pergaduhan. Semua yang mengenalinya tahu dia sentiasa murah dengan senyuman dan memilih untuk berdiam diri jika diperlakukan tidak adil.

“Dia paling tidak suka melihat pergaduhan, tetapi akhirnya dia sendiri menjadi mangsa keganasan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Shantiya, mendiang Arun pernah menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala setiap tahun di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru menyebabkan dia tidak mampu bekerja seperti kebanyakan rakan seusianya.

Shantiya berkata, pada malam kejadian, keluarga langsung tidak mengetahui pemuda itu keluar ke Pontian kerana kebiasaannya dia akan memaklumkan terlebih dahulu setiap kali keluar rumah.

“Kami sangka dia akan pulang seperti biasa. Tiada siapa menyangka perjalanan keluar rumah pada malam itu menjadi detik kali terakhir kami melihatnya,” ujarnya.

Sementara itu, ibu saudara mangsa yang menjaganya sejak kecil, K. Devi, 52, berkata, Arun merupakan seorang yang menghormati orang lain dan sentiasa menjadi pendamai sekiranya berlaku perselisihan dalam keluarga.

Menurutnya, mangsa mempunyai minat dalam permainan Urumi sejak di bangku sekolah rendah, selain menyimpan impian membawa keluarga bercuti ke Indonesia serta membuka pusat mencuci kereta atau restoran.

Mengulas perkembangan siasatan, katanya, pihak keluarga merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas tindakan pantas menahan tujuh suspek sehingga mereka didakwa di mahkamah.

Devi berkata, walaupun kes tersebut kini di peringkat perundangan, masyarakat tidak seharusnya berhenti mengambil berat terhadap isu tersebut.

Jelasnya, mereka turut berharap agar kerajaan yang akan diberi mandat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak dapat menjadikan keselamatan awam dan perlindungan nyawa rakyat sebagai agenda utama pentadbiran.

Tambahnya, keputusan keluarga bersuara bukan sahaja untuk menuntut keadilan buat mangsa, namun berharap kes tersebut dapat membuka mata semua pihak terhadap isu keselamatan yang semakin membimbangkan.

“Hari ini, yang pergi ialah ahli keluarga kami. Kami harap, tidak ada lagi mana-mana keluarga yang terpaksa menanggung kesedihan yang sama seperti kami,” katanya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan tujuh individu berusia 18 hingga 28 tahun didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Tiga lagi suspek yang ditahan sebelum ini dibebaskan dan dijadikan sebagai saksi pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN