PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sabah hingga pukul 9 malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah seluruh Perak (Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim) dan Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai).
Keadaan sama turut berlaku di Terengganu (Besut, Setiu, Kuala Nerus, Kuala Terengganu dan Marang) dan Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Selangor (Hulu Selangor, Gombak dan Petaling), Kuala Lumpur dan Johor (Mersing dan Kota Tinggi),” katanya.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pantai Barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat (Kota Marudu dan Pitas).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













