PETALING JAYA – Kaedah kempen calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti, Alias Rasman yang menggunakan deretan poster memaparkan latar belakang dirinya di sepanjang jalan raya mencuri perhatian netizen.
Menerusi gambar yang tular di Threads, poster-poster itu memaparkan maklumat berbeza seperti “Peguam”, “Anak Cikgu”, “Cucu Wak Nin” dan “Alumni UiTM”, sekali gus membolehkan pengguna jalan raya mengenali calon tersebut secara berperingkat.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi apabila ramai menyifatkan pendekatan berkenaan kreatif dan seolah-olah memberi peluang kepada orang ramai membaca ‘resume’ calon sepanjang perjalanan.
Seorang pengguna, @Zafryhylmy, yang berseloroh mengenai panjangnya deretan poster tersebut.
“Kalau nak tahu resume penuh dia, kena memandu sampai mana pula?” soalnya berseloroh.
Sementara itu, seorang pengguna lain, @Ain.mdzin, mendakwa sempat melihat gelagat seorang penunggang motosikal yang memperlahankan kenderaan semata-mata untuk membaca poster berkenaan satu persatu.
“Semalam saya lalu di Taman Kota Jaya tetapi tidak sempat membacanya. Kebetulan ada seorang pak cik Cina menunggang motosikal di belakang saya. Dia memperlahankan motosikal dan membaca poster itu satu persatu sambil tersenyum,” katanya.
Dalam pada itu, @Azmeeraedora berpendapat pendekatan tersebut bukan sahaja unik, malah memudahkan bakal pengundi mengenali calon dengan lebih dekat.
“Rasa comel pula. Ringkas dan memudahkan bakal pengundi mengenali calon. Apa pun, kalau sudah menang nanti jangan lupa jalankan tanggungjawab,” katanya. – KOSMO! ONLINE














