Spesies ini jarang dipertontonkan kepada umum, malah tidak ramai pemancing berpeluang melihat sendiri kelibatnya di habitat asal.
Kenerak merupakan spesies ikan ‘bermisai’ daripada keluarga catfish gergasi yang mendiami sungai berarus deras dan kawasan jeram berbatu.
Di Malaysia, spesies yang banyak direkodkan adalah Bagarius lica. Ia berbeza dengan kerabat rapatnya Bagarius yarrelli yang hidup di India dan beberapa negara Asia Selatan.
Taburan spesies ini di Semenanjung Malaysia banyak tertumpu di sistem sungai utama seperti Sungai Pahang termasuk kawasan Sungai Jelai di Kuala Lipis, Pahang, selain Sungai Kelantan dan Sungai Perak.
Kebanyakan lokasi tersebut mempunyai ciri habitat hampir sama iaitu sungai dalam,
aliran air yang kuat dan deras di kawasan jeram dipenuhi batu-batu besar.
Habitat
Habitat sebegini memainkan peranan penting dalam kehidupan ikan kenerak.
Struktur berbatu dan rekahan dasar sungai menjadi tempat persembunyian utama ikan ini untuk menunggu mangsanya.
Dalam arus deras, profil badan kenerak yang leper dan panjang, dibantu lagi dengan tujahan ekornya yang berbentuk ‘V’, membolehkannya kekal stabil di dasar sungai tanpa perlu menggunakan banyak tenaga.
Bagi masyarakat tempatan di kawasan pedalaman, ikan kenerak sering dianggap sebagai penghuni ‘lama’ sungai yang semakin sukar ditemui.
Ini ekoran populasinya yang semakin meruncing akibat pencemaran dan penjarahan kawasan hulu sungai.
Ada yang menyifatkan ikan ini sebagai ‘raja dasar’ di sungai-sungai besar kerana saiznya yang kasar dan kekuatan ketika melawan apabila kena pancing.
Profil
Walaupun tergolong dalam keluarga ikan bermisai, namun penampilan kenerak agak berbeza daripada keli atau baung biasa. Kepalanya lebih besar dan lebar, mulut luas dengan gigi tajam yang berceragah.
Warna tubuhnya kelabu gelap berbelak kehitaman yang menyerupai pasir, batu dan reba kayu di kawasan jeram berair deras yang didiaminya.
Penyamaran semula jadi itu membantu spesies ini berselindung (camouflage) di persekitarannya untuk memburu mangsa tanpa disedari.
Sebagai pemangsa utama di habitatnya, kenerak memburu pelbagai hidupan sungai termasuk ikan-ikan kecil dan udang.

Sebagai spesies ikan nocturnal, ia lebih aktif memburu pada waktu malam atau ketika keadaan air keruh selepas hujan.
Pancingan
Dalam dunia memancing, spesies ikan ini dianggap antara ikan air tawar paling mencabar untuk didaratkan. Lokasi habitatnya yang jauh di kawasan pedalaman sudah cukup menguji ketahanan fizikal pemancing.
Ditambah pula dengan sifatnya yang gemar menyelinap ke celah batu ketika terkena mata kail, ramai yang kecundang, walaupun menggunakan peralatan berat.
Teknik memancing kenerak selalunya menggunakan kaedah dasar dengan umpan hidup seperti ikan sungai atau udang. Ada juga pemancing yang menggunakan umpan cengkerik, belalang atau lipas hutan.
Pemancing juga perlu memahami struktur sungai dan arus kerana spesies ini jarang bergerak jauh daripada kawasan persembunyiannya yang berarus deras.
Namun begitu, di sebalik statusnya sebagai ikan trofi, populasi kenerak kini semakin terancam. Aktiviti pembangunan berhampiran sungai, pembalakan dan pencemaran air memberi kesan besar kepada habitat semula jadinya.
Sungai yang dahulu jernih dan berbatu kini semakin banyak dipenuhi keladak yang biasanya datang dari hakisan kawasan pembalakan, sekali gus menjejaskan kawasan pembiakan spesies ini.
Selain itu, kegiatan menangkap ikan secara tidak terkawal menggunakan tuba, renjatan elektrik dan pukat turut menjadi ancaman utama.
Paling dikesalkan, kaedah haram seperti ini bukan saja membunuh anak-anak ikan, malah memusnahkan keseluruhan ekosistem sungai.
Atas faktor tersebut, kenerak kini dianggap spesies yang perlu dipelihara dan dijaga kelestariannya agar tidak pupus pada masa hadapan.
Ramai pemancing moden juga semakin sedar tentang kepentingan amalan tangkap dan lepas, khususnya bagi spesimen bersaiz besar.Hakikatnya, kehadiran kenerak di sungai-sungai utama di dalam negara kita menjadi petunjuk bahawa sistem sungai masih sihat dan terpelihara.
Selagi jeram berbatu dan arus deras terus kekal, selagi itu peluang untuk generasi akan datang mengenali spesies legenda ini masih ada.














