fbpx
Gambar hiasan

RM64 juta insentif DGP diagih, lebih 51,000 pekerja nikmati kenaikan gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Sebanyak RM64.07 juta insentif tunai telah disalurkan kepada 4,025 majikan sektor swasta yang menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) setakat 5 Jun lalu, sekali gus memberi manfaat kepada 51,363 pekerja tempatan.

Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) berkata, inisiatif di bawah kerangka Ekonomi Madani itu bertujuan memperkasakan pekerja mahir menerusi peningkatan tangga gaji secara progresif.

Menurut Kesuma, sektor perdagangan borong dan runcit termasuk pembaikan kenderaan bermotor serta motosikal merekodkan penyertaan tertinggi sebanyak 26.7 peratus, diikuti sektor pembuatan (15.7 peratus), aktiviti profesional, saintifik dan teknikal (11.1 peratus), pendidikan (7.4 peratus) serta penginapan dan perkhidmatan makanan (6.9 peratus).

“Dari segi saiz syarikat, majikan kategori kecil mencatatkan penyertaan tertinggi dengan 50.2 peratus, diikuti syarikat besar dan sederhana masing-masing 18.4 peratus serta syarikat mikro sebanyak 13.1 peratus,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) yang ingin mengetahui tahap pematuhan sektor swasta terhadap pelaksanaan DGP serta keberkesanan insentif tersebut dalam meningkatkan gaji pekerja mahir.

Kesuma berkata, pelaksanaan dasar itu menunjukkan impak positif apabila kumpulan profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu yang mewakili 45.9 peratus daripada keseluruhan pekerja terlibat menikmati peningkatan pendapatan.

Bagi kumpulan profesional, median gaji pokok meningkat RM350 daripada RM2,900 kepada RM3,250, iaitu kenaikan 12.1 peratus, manakala purata gaji pokok naik RM364.36 kepada RM3,295.10 berbanding RM2,930.74 sebelum ini.

Sementara itu, median gaji pokok bagi kumpulan juruteknik dan profesional bersekutu meningkat RM250 daripada RM2,350 kepada RM2,600 atau 10.6 peratus, manakala purata gaji pokok meningkat RM294.38 daripada RM2,557.35 kepada RM2,851.72.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN