KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti cadangan pindaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597) bagi membolehkan Suhakam menjana sumber pendapatan sendiri menerusi pelaksanaan latihan, kursus dan program berkaitan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran berkata, langkah itu penting bagi memastikan Suhakam mempunyai sumber kewangan yang lebih mampan tanpa bergantung sepenuhnya kepada peruntukan tahunan kerajaan.
“Akta 597 ketika ini tidak memperuntukkan kuasa kepada Suhakam untuk mengenakan caj atau fi bagi pelaksanaan latihan hak asasi manusia bagi menampung kos penganjurannya.
“Cadangan pindaan akan diteliti secara menyeluruh dengan mengambil kira pematuhan kepada Prinsip-prinsip Paris serta kesesuaiannya dengan mandat dan fungsi Suhakam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) yang ingin mengetahui sama ada kerajaan bercadang meminda Akta 597 bagi membolehkan Suhakam menjana pendapatan tambahan melalui latihan, kursus dan program berkaitan.
Dalam pada itu, Kulasegaran berkata, kerajaan turut berbincang dengan Kementerian Kewangan bagi menaikkan kadar elaun anggota Suhakam susulan peranan penting yang dimainkan suruhanjaya berkenaan.
“Saya bersetuju elaun yang dibayar ketika ini tidak setanding dengan tanggungjawab mereka. Perkara itu telah dirujuk kepada Kementerian Kewangan dan saya difahamkan terdapat beberapa perbincangan untuk meningkatkan elaun tersebut,” katanya.-KOSMO! ONLINE














