PORT DICKSON – Penantian selama tiga tahun sepasang suami isteri berbaloi apabila impian memiliki kediaman sendiri menjadi kenyataan selepas permohonan mereka menerusi Program Perumahan Rakyat (PPR) diluluskan.
Syed Idris Syed Jaafar, 57, berkata, berita gembira itu membawa makna besar buat dirinya dan isteri Nor Soleha Ariff, 38, selepas sekian lama menyewa rumah di Site C Chuah sambil menanti permohonan yang dibuat pada 2023.
Dia yang bekerja sebagai polis bantuan dan turut melakukan kerja-kerja kebun berkata, mereka bersyukur kerana akhirnya dapat memiliki rumah sendiri selepas berdepan pelbagai cabaran sepanjang tempoh menunggu.
“Alhamdulillah, kami sangat gembira. Ini rezeki untuk keluarga kami, lebih-lebih lagi anak perempuan kami yang baru berusia setahun,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Pengundian Unit PPR Ladang Tanah Merah di sini, semalam..
Seorang penerima lagi, tukang masak Yap Man Seng, 29, berkata, dia yang sebelum ini tinggal bersama keluarga bersyukur kerana akhirnya dapat memiliki kediaman sendiri dan menyifatkan ia titik permulaan membina kehidupan yang lebih stabil pada masa depan.
“Saya rasa sangat bertuah dan gembira. Saya hanya mencuba memohon dan tidak sangka layak,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, tiga projek tambahan PPR di Negeri Sembilan akan dilaksanakan melibatkan PPR Nilai, Jempol dan Linggi bagi memperluas penyediaan rumah mampu milik kepada golongan B40.
Menurutnya, selain pembinaan PPR, seramai 93,555 pembeli rumah pertama telah mendapat manfaat daripada Skim Jaminan Kredit Perumahan setakat ini, dengan baki jaminan kerajaan berjumlah RM18 bilion masih tersedia. – KOSMO! ONLINE














