GURUN – Polis Kedah menegaskan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand sememangnya telah dipertingkatkan sejak awal lagi termasuk melibatkan pelbagai aspek keselamatan dan penguatkuasaan.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, situasi semasa yang dipengaruhi faktor geopolitik serta konflik di Timur Tengah turut menuntut tahap kesiapsiagaan keselamatan yang lebih tinggi.
Katanya, kawalan sedia ada bukan sahaja melibatkan aspek ancaman keselamatan, malah turut merangkumi isu rentas sempadan lain.
“Bukan sahaja daripada sudut ancaman anasir subversif tetapi juga bagi membendung ketirisan, penyeludupan migran yang berterusan serta penyeludupan bahan api,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tahap kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini susulan insiden letupan bom di Tak Bai, Thailand yang mencederakan dua rakyat Malaysia pada semalam.
Menurutnya, pihak polis tidak boleh berada dalam keadaan selesa dan akan terus mempertingkatkan tindakan berdasarkan keperluan semasa.
“Setakat ini kawalan memang sudah ketat, namun apabila berlaku apa-apa kejadian, kita tidak boleh rasa selesa. Jika terdapat sebarang maklumat risikan yang memerlukan kawalan dipertingkatkan lagi, kita akan lakukan,” ujarnya.
Beliau pada masa sama meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan keselamatan mahupun kegiatan menyalahi undang-undang agar segera menyalurkannya kepada pihak polis.
“Saya tahu masing-masing ada urusan dan keperluan tersendiri untuk ke sana (Thailand), namun jika nak pergi saja-saja dalam keadaan ekonomi sekarang, lebih baik duduk di Malaysia dan berada di rumah,” tambahnya.
Semalam, dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan utiliti sukan jenis Proton X50 yang dinaiki mereka terkena letupan bom buatan sendiri yang dipercayai ditanam di tepi jalan di Persimpangan Sapom, Daerah Tak Bai, Narathiwat.
Sumber Pusat Operasi Keselamatan Dalam Negeri Wilayah 4 berkata, mangsa dikenali sebagai Abdullah Syarapi Abd. Rahman, 45, dan Muhammad Yusri Udin, 38. – KOSMO! ONLINE














