Johor antara negeri yang banyak hasil durian. Musim kali ini terlalu istimewa kerana bertembung dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16.
Ada kenalan yang mempunyai kebun di Batu Pahat kenyang makan durian. Terlalu banyak buah yang menjadi dan diberi makan kepada saudara-mara. Dia langsung tidak berminat untuk menjualnya seperti orang lain.
Kebaikan dan kemurahan hatinya itu turut merebak ke rumah saya apabila menerima banyak isi durian kampung, kahwin, IOI dan lain-lain sehingga tidak lagi memandang kepada durian yang dijual di tepi-tepi jalan.
Natijah daripada perbuatannya yang diamalkan sejak sekian lama itu, saya perhatikan keluarganya sentiasa diberikan kemudahan di setiap kesulitan. Anak-anaknya semua ‘menjadi orang’ dengan pekerjaan berkualiti. Alhamdulilah.
Muak makan durian sampaikan saya langsung tidak mahu menyinggah apabila ternampak orang kampung menjual raja buah itu serendah RM4 sekilogram ketika melalui Jalan Tampin-Gemencheh Ahad lalu.
Ketika ini kempen parti-parti yang bertanding semakin rancak. Selain bermanis mulut di rumah-rumah pengundi, kita dapati kempen melalui media sosial juga sama naik.
Salah satu cara untuk berkempen ialah mengadakan ‘kendurian’ ketika musim buah sedang berlambak pada harga murah. Sudah pasti kempen atau ceramah itu akan diserbu orang.
Sama ada datang untuk dengar ceramah atau makan durian, niat masing-masing itu hanya tuan badan yang mengetahuinya. Bila orang ramai datang, barulah ‘syok’ hendak muat naik gambar di media sosial.
Dapat sokongan atau tidak, menang atau kalah belakang cerita. Apa yang penting menang bergaya di media sosial dulu. Ada masa untuk berkempen lagi sebelum hari penentuan siapa bakal memerintah Johor pada 11 Julai depan.
Zaman sekarang pengundi tidak lagi perlu berharap kepada ceramah semata-mata. Rata-rata mereka terutama yang sudah lama mengundi bertambah terbuka.
Apa yang kita khuatirkan ialah golongan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia yang kini sebahagiannya sudah mula menyambung pengajian di institusi pilihan mereka.
Sebaik usia mencapai 18 tahun, mereka ini secara automatik sudah berada dalam senarai pengundi di alamat yang tertera di dalam MyKad.
Mengikut pemerhatian, anak muda yang baru pertama kali hendak memangkah kertas undi dan mencelup jari dengan dakwat kekal lebih cenderung untuk mengikut rakan-rakan dan percaya apa yang bertebaran di media sosial.
Ibu bapa yang mempunyai anak pada usia ini tentu faham dengan situasi tersebut. Apa yang perlu mereka tahu, setiap undi yang diberikan penting untuk menentukan masa depan di kawasan masing-masing.
Mengundi bukan seperti memangkah kertas binggo. Ia berkaitan integriti dan tanggungjawab besar kepada negeri dan negara.
Jangan lagi kita menjadi negara yang mengundur selepas dihidangkan dengan kemajuan.
Sebelum terlupa, apa khabar pengguna LRT3 aliran Shah Alam dan Klang? Seronok lari daripada kesesakan dan dapat naik pengangkutan awam percuma?














