KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) memberi jaminan akan terus memberi sokongan terhadap bintang muda Moto3 negara, Hakim Danish Ramli apabila sebanyak RM1.8 juta disalurkan bagi musim 2026.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, dana tersebut disalurkan menerusi geran padanan sukan dan kerjasama bersama Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membangunkan karier Hakim Danish.
Menurutnya, kerajaan tidak mengurangkan sebarang dana kepada pelumba berusia 19 tahun itu, malah terus komited membantu perjalanan kariernya dalam usaha memburu kejayaan di pentas dunia.
“Untuk pembangunan Hakim Danish sahaja, kerajaan melalui KBS telah memperuntukkan sehingga RM8.93 juta sepanjang tempoh pembangunan beliau.
“Bagi tahun 2026 pula, tiada dana yang dipotong dan sebanyak RM1.8 juta terus disalurkan melalui geran padanan sukan serta SIC untuk pembangunan Hakim Danish dan atlet lain,” katanya ketika menjawab isu berkaitan sokongan kerajaan terhadap pembangunan atlet permotoran negara di Parlimen, semalam.
Taufiq turut menjelaskan perjalanan pembangunan Hakim Danish bermula sejak 2021 apabila KBS bersama SIC menyusun laluan pembangunan bakat secara sistematik bermula daripada Asia Talent Cup, European Talent Cup, Red Bull MotoGP Rookies Cup, FIM JuniorGP sebelum kini beraksi dalam Kejuaraan Dunia Moto3.
Selain peruntukan kerajaan, beliau turut memaklumkan SIC turut menyediakan dana awal sebanyak RM453,000 bagi membantu penyertaan Hakim Danish dalam kempen Moto3 musim 2026.
Dalam masa sama, Taufiq menegaskan pembangunan atlet akar umbi kekal menjadi keutamaan kementerian dengan sasaran melahirkan lebih ramai pelumba bertaraf dunia, termasuk bakat muda seperti Qabil Irfan Azlan.
“Kita sudah melahirkan seorang Hakim Danish yang hebat. Matlamat kita sekarang ialah melahirkan 10 atau 20 lagi Hakim Danish untuk mewakili negara di pentas dunia,” katanya.
Beliau turut menggesa lebih banyak syarikat korporat tampil membantu pembangunan atlet negara dengan memanfaatkan insentif potongan cukai yang disediakan kerajaan bagi sumbangan kepada aktiviti dan badan sukan yang diluluskan, sekali gus memperkukuh ekosistem pembangunan sukan negara.














