SHAH ALAM – Kempen jentera Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berjalan lancar tanpa sebarang unsur fitnah dan maki hamun.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, BN kekal menggunakan pendekatan berkempen secara berhemah dan tidak mahu bergaduh.
“BN bekerja (cara) tidak banyak bercakap dan juga tidak pandai untuk maki hamun itu ini atau menabur fitnah.
“Jadi, kita buat kerja untuk memastikan supaya pilihan Raya ini berjalan baik dengan saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran inisiatif semikonduktor Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, hari ini.
Zambry berkata, semua pihak perlu menggunakan ruang itu untuk menawarkan apa yang terbaik pada PRN itu
“Dalam konteks BN, kita telah menyampaikan sesuatu yang terbaik untuk rakyat hadam dan juga memberi sokongan kepada pengundi muda.
“Apa jua keputusan yang dibuat, paling mustahak ialah pergerakan kita itu mendapat sokongan rakyat sama ada selalu atau tidak,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














