fbpx
Syed Saddiq akur apabila keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya di Mahkamah Persekutuan yang sepatutnya diumumkan hari ini ditangguhkan ke 13 Julai depan. - MOHAMED IQBAL ROSLI

‘Kes dah 6 tahun, saya boleh tunggu lagi dua minggu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akur selepas keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasannya yang sepatutnya diumumkan Mahkamah Persekutuan hari ini ditangguhkan pada 13 Julai ini.

Syed Saddiq, 33, berkata, walaupun mengharapkan proses perundangan yang berlarutan sejak enam tahun lalu berakhir hari ini, beliau menghormati keputusan mahkamah selepas seorang daripada hakim panel mengambil cuti sakit.

“Saya menghormati urusan Yang Arif Hakim dan institusi kehakiman negara. Mahkamah merupakan benteng terakhir untuk saya mendapatkan keadilan berdasarkan fakta, bukannya melalui jalan di luar mahkamah.

“Saya faham keadaan ini. Kes ini bukan kes baharu, sudah enam tahun saya berjuang untuk membersihkan nama dan maruah saya. Jadi saya boleh tunggu lagi dua minggu.

“Saya berharap hari ini semuanya dimuktamadkan, tetapi saya perlu menunggu bersama keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Persekutuan.

Pada masa sama, ahli politik itu menyifatkan pihaknya maklum terdapat pelbagai kemungkinan tidak dijangka boleh berlaku sepanjang prosiding mahkamah termasuk kesihatan.

“Ada banyak senario yang kita tidak jangkakan. Apabila melibatkan soal kesihatan, kita perlu hormat khususnya institusi kehakiman negara. Saya tidak kecewa, sebaliknya saya menghormati keputusan ini,” ujarnya.

Terdahulu, keputusan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq ditangguhkan ke 13 Julai ini selepas panel hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali bercuti sakit hari ini dan esok.

Panel yang turut dianggotai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais selaku pengerusi dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Collin Lawrence Sequerah itu sepatutnya menyampaikan keputusan sama ada secara sebulat suara atau majoriti.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Rafiq Hakim Razali melakukan pecah amanah dana Armada berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Kuala Lumpur pada 6 Mac 2020.

Sebelum ini, pihak pendakwaan memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 25 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN