fbpx
MUHYIDDIN ketika ditemui pemberita di program Sembang Santai di Kampung Jayor, Johor petang tadi. Foto oleh SHIDDIEQIN ZON

PRN Johor: Saya tidak akan buat arahan undi parti lain – Muhyiddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PAGOH – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan beliau tidak akan mengeluarkan arahan kepada ahlinya supaya mengundi parti lain di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak ditandingi PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, prinsip yang dipegang Bersatu adalah mudah iaitu penyokong hanya perlu memberikan sokongan kepada calon PN di kerusi yang ditandingi gabungan itu.

“Kita ambil prinsip yang sama, mudah. Kalau PN bertanding, sokong PN. Parti-parti lain yang lawan kita, takkan kita nak sokong. Saya tak ada strategi sebegitu.

“Saya tidak akan buat arahan sebegitu kerana ada asas-asas tertentu yang kita guna pakai. Polisi, dasar, pendekatan yang sejak dulu menjadi pendirian kita. Saya tak sama dengan parti lain,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program Sembang Santai di Kampung Jayor, dekat sini, petang tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan Pas supaya ahli dan penyokongnya mengundi calon Barisan Nasional (BN) di DUN yang tidak ditandingi PN.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man semalam dilaporkan berkata, arahan itu dikeluarkan bagi memastikan sokongan diberikan kepada calon BN di kawasan yang tidak mempunyai calon PN selain mengelakkan undi memihak kepada Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, keputusan mengundi diserahkan kepada pertimbangan pengundi berdasarkan kecenderungan dan pendirian politik masing-masing.

“Kalau tidak parti Bersatu, mungkin ada parti-parti yang lain atau yang sehaluan, yang sependirian. Ada yang buat keputusan (mengundi) begitu. Pasal itu hak mereka, kalau kawasan DUN tak ada calon Bersatu tapi ada calon lain.

“Orang tak pening kepala. Yang ini sokong, yang ini jangan sokong. Kita jangan mencelarukan pemikiran pengundi. Ada kes yang mana mereka tak nak keluar mengundi sebab yang bertanding itu bukan parti yang dia suka,” katanya.

Muhyiddin berkata, fokus utama PN ketika ini adalah memastikan semua calon gabungan itu mendapat sokongan penuh daripada pengundi di kerusi yang ditandingi pada PRN Johor. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN