BANGKOK – Seorang lelaki warga Australia telah ditahan dan berdepan pertuduhan membunuh selepas mayat seorang remaja perempuan berusia 17 tahun ditemui disumbat di dalam sebuah beg bagasi di bandar peranginan Pattaya, Thailand, lapor agensi penyiaran BBC.
Mangsa, yang dikenali sebagai Tunchanok Donhomla, ditemui oleh pihak polis dalam keadaan tragis di dalam sebuah beg yang dibuang berhampiran landasan kereta api pada awal pagi kelmarin.
Polis Thailand memaklumkan bahawa mereka telah menahan Simon Peter Carman di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, berkaitan kes kematian tersebut ketika dia didakwa “bersiap sedia untuk melarikan diri dari negara itu”.
Polis Bandar Pattaya menyatakan bahawa remaja berusia 17 tahun itu telah dilaporkan hilang pada jam 17:00 (waktu tempatan) pada hari Jumaat.
Dalam satu kenyataan di media sosial, pihak berkuasa berkata mereka telah menyemak rakaman CCTV yang didakwa menunjukkan Carman memasuki sebuah kondominium bersama Donhomla pada jam 03:34 pagi (waktu tempatan) pada hari Khamis.
Lewat malam tersebut, suspek keluar bersendirian “sambil membawa sebuah beg bagasi yang besar”.
Suspek kemudian membawa beg berkenaan dengan sebuah motosikal menuju ke arah landasan kereta api tempat mayat mangsa ditemui 15 minit selepas penahanannya. – AGENSI














