fbpx
FAM memerlukan perubahan besar, namun peranan muka lama masih lagi dianggap penting untuk memacu badan induk bola sepak itu.

FAM tidak boleh berubah total

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KABINET Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak boleh dirombak secara total pada Kongres Pemilihan akan datang kerana ‘sentuhan’ beberapa tokoh berpengalaman masih penting bagi mencari keseimbangan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar percaya kombinasi gabungan muka-muka baharu dan berpengalaman bakal menjadi tunjang penting untuk teraju pucuk pimpinan bola sepak negara itu nanti.

Syed Yazid berkata, pembaharuan perlu dilakukan menerusi kemunculan wajah baharu tetapi mereka hendaklah mempunyai pengalaman dalam arena bola sepak dan bukan hadir dengan ‘tangan kosong’.

“Kita tak boleh buat perubahan secara total. Kena ada orang baharu dan kena ada juga orang yang berpengalaman.

“Bagi saya, biarlah seimbang. Tak boleh semua orang baharu kerana pengalaman itu penting, tetapi pada masa sama kita juga perlukan idea dan tenaga baharu.

“Semua orang mahukan perubahan dan wajah baharu. Tetapi, orang baharu yang saya maksudkan bukanlah individu yang langsung tiada pengalaman dalam bola sepak.

“Mungkin mereka sudah lama terbabit dalam bola sepak tetapi belum tampil ke hadapan. Golongan seperti ini boleh diketengahkan untuk bertanding jawatan Presiden, Naib Presiden atau Exco FAM,” katanya.

Sementara itu, Syed Yazid mengakui sudah ada beberapa pihak yang cuba untuk melobi KLFA untuk dicalonkan pada Kongres Pemilihan FAM yang dijangka berlangsung pada September depan.

“Ada yang datang berjumpa dan ada juga yang menghubungi kami. Ramai yang berminat untuk bertanding jawatan Naib Presiden dan Exco,” katanya.

FAM bakal menjalani perubahan reformasi dengan 11 Exco baharu akan dilantik terdiri daripada Presiden, Naib Presiden (tiga kerusi) dan lapan Exco berbanding 17 kerusi yang ditawarkan sebelum ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN