SHAH ALAM – Jumlah sampah di venue dan pusat penginapan kontinjen negeri bagi Sukan Malaysia (Sukma) Selangor dijangka meningkat sekali ganda pada Ogos depan.
Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Datuk Ramli Mohd. Tahir berkata, pihaknya merangka pelan operasi kutipan sampah bagi semua lokaliti itu terutama venue utama seperti stadium bola sepak, pusat akuatik dan pusat penginapan kontinjen bertanding.
Katanya, kutipan harian akan ditambah mengikut keperluan sama ada pada waktu siang atau malam di lokasi yang dikenal pasti kelak.
“Kita jangka berlaku tambahan sampah minimum sekali ganda berbanding hari biasa. Sebagai contoh, jika sampah itu tiga tan ia meningkat kepada enam tan.
“Justeru, tong sampah termasuk roro yang disediakan akan ditambah manakala kutipan mungkin dibuat beberapa kali sehari,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mewakili KDEBWM memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan TM Enviro Industries Sdn. Bhd. yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Thevaan Padma bagi memperkasakan pengurusan sisa mampan dan sisa elektronik (e-waste) demi kelestarian alam sekitar.
Untuk rekod, penganjuran Sukma 2026 akan berlangsung bermula 15 hingga 24 Ogos 2026. – KOSMO! ONLINE














