BACHOK – Seorang anggota bomba didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) secara cuai dan merempuh kanak-kanak perempuan hingga parah semasa Hari Keluarga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Januari lalu.
Tertuduh, Mohammad Shuhaili Shuib, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Fakhrul Razzi Abd. Hamid.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu MPV Toyota Innova secara cuai sehingga melanggar mangsa berusia empat tahun dan menyebabkan kanak-kanak itu parah di kawasan parkir sebuah chalet pada pukul 10.45 pagi, 3 Januari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Syahmi Yazid mengemukakan pertuduhan mengikut Seksyen 338 Kanun Keseksaan. Mohammad Shuhaili diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Habil Zainal Abidin.
Terdahulu, Muhammad Aiman mencadangkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin.
Muhammad Habil dalam rayuannya memohon supaya jumlah itu dikurangkan dengan alasan anak guamnya yang bertugas sebagai pembantu bomba di Pulau Pinang menerima gaji bersih RM2,000 sebulan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin selain menetapkan 3 Ogos depan untuk sebutan semula kes. Tertuduh membayar jaminan yang ditetapkan mahkamah. – KOSMO! ONLINE














