PETALING JAYA – Beberapa kawasan di Pantai Timur dan Utara Semenanjung dijangka berdepan ribut petir, hujan lebat serta angin kencang sehingga pukul 9 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam amaran yang dikeluarkan pada pukul 5.25 petang memaklumkan, kawasan terlibat di Kedah ialah Padang Terap, Sik dan Baling, manakala di Perak melibatkan Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang serta Muallim.
Di Kelantan pula, cuaca buruk dijangka melanda Tumpat, Pasir Mas, Jeli, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang, selain beberapa daerah di Pahang iaitu Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh.
Amaran sama turut melibatkan beberapa kawasan di Sarawak termasuk Lundu, Samarahan, Simunjan, Sri Aman, Betong, Pakan, Julau, Sibu, Mukah, Song, Kapit, Tatau, Bintulu dan Subis.
Di Sabah, kawasan Lahad Datu, Kinabatangan dan Sandakan turut dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin kencang dalam tempoh sama.
MetMalaysia menjelaskan, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan berintensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan berwaspada dan sentiasa mengikuti maklumat cuaca terkini yang dikeluarkan MetMalaysia.-KOSMO! ONLINE













