TAMPIN – Program Jualan Rahmah Madani kini lebih dekat dengan rakyat apabila penganjurannya ditingkatkan daripada tiga kepada lima kali sebulan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara, bermula bulan ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata, inisiatif itu membolehkan lebih ramai pengguna mendapatkan barangan keperluan asas pada harga lebih rendah tanpa perlu menunggu tempoh yang lama.
Katanya, sebanyak 14,000 program jualan dilaksanakan sepanjang tahun lalu, manakala pada tahun ini jumlahnya meningkat kepada 15,000 program setakat semalam.
“Program ini berjaya merekodkan 18.5 juta transaksi dengan nilai jualan mencecah RM675.5 juta dan kerajaan menyalurkan subsidi RM209 juta bagi menjayakannya,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mini Karnival KPDN Peringkat Negeri Sembilan 2026 di Tampin Square, di sini, hari ini.
KPDN juga akan meneruskan pelaksanaan menu Rahmah dan setakat ini disertai seramai 3,278 peniaga di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE














