“ALHAMDULILLAH, perasaan saya ketika itu sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
“Saya sangat bersyukur, terharu serta tidak menyangka segala pengorbanan dan latihan dilalui selama ini, akhirnya berjaya membuahkan hasil.
“Saat nama saya diumumkan sebagai pemenang, perkara pertama terlintas di fikiran adalah wajah ibu bapa, para guru, jurulatih dan semua individu yang sentiasa mendoakan serta menyokong perjalanan saya selama ini.”
Itulah mukadimah gadis genit, Aiena Batrisyia Sulaiman kepada K-Kampus tatkala mengimbas kejayaannya dinobatkan sebagai Juara Kategori Alam Melayu dalam Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2026 baru-baru ini.
Menariknya, siswi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berusia 20 tahun itu muncul sebagai pemenang termuda dalam sejarah pertandingan tersebut yang bermula sejak tahun 2007.
Bagi kategori Alam Melayu, Aiena Batrisyia menewaskan wakil dari Universiti Tanjungpura, Indonesia sebagai naib johan dan wakil dari Universiti Malaya di tempat ketiga.
Bagi pelajar tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang itu, kemenangannya bukan hanya bersifat peribadi, sebaliknya milik negara dan semua orang yang percaya dengan kemampuannya selama ini.
PABM ialah pertandingan pengucapan awam peringkat global anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertujuan memartabatkan serta memperkasa kedudukan bahasa Melayu di persada antarabangsa. Malam kemuncaknya telah berlangsung di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Kuala Lumpur dengan disertai 174 penyertaan dari 21 negara.
Antara negara terlibat ialah China, Uzbekistan, Rusia, Indonesia, Jepun, Afghanistan, Nigeria, Romania, Singapura, Thailand, Mesir, Jerman dan Kanada.

Menurut anak kelahiran Kedah dan membesar di Negeri Sembilan itu, sejak di bangku sekolah rendah, dia sudah aktif serta berminat melibatkan diri dalam aktiviti berkait rapat dengan bahasa, kepimpinan serta pengucapan awam.
“Minat tersebut akhirnya membawa saya terus aktif dalam pelbagai pertandingan pidato, debat dan forum hingga ke peringkat kebangsaan serta antarabangsa,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.
Antara kejayaan lain yang diraih oleh Aiena Batrisyia adalah Johan Pidato Rukun Negara Kategori Sekolah Menengah (2021) dan juga terbaharu, Naib Johan Pertandingan Debat Alam Sekitar (DAS) Institut Pengajian Tinggi.
Ditanya mengenai persiapan dilakukannya sebelum melangkah ke gelanggang pertandingan, Aiena Batrisyia memberitahu, dia akan melakukan persediaan dari segi cara dan gaya penyampaian.
“Pada saya, pidato ini adalah seni untuk menyampaikan maklumat kepada khalayak tanpa mengira usia dan latar belakang.
“Setelah memahami isu secara mendalam, saya akan membina kerangka hujah sebelum menulis teks yang mempunyai aliran pemikiran yang jelas dan tersusun.
“Dari segi penyampaian, saya akan berlatih secara konsisten di hadapan jurulatih dan bersendirian di depan cermin untuk memperbaiki intonasi, bahasa tubuh serta kawalan masa,” katanya.
Mengulas berkenaan cabaran yang dihadapinya dalam PABM 2026, gadis yang obses terhadap matcha itu mengakui, cabaran terbesar adalah memastikan setiap hujah dibawa mempunyai keseimbangan antara kekuatan fakta, ketajaman analisis dan nilai kemanusiaan.
Tambahnya, dia juga perlu mengurus masa dengan baik kerana mempunyai komitmen akademik dan aktiviti lain yang turut memerlukan perhatian secukupnya.
“Persediaan untuk pertandingan antarabangsa bukan sekadar menghafal teks, sebaliknya menuntut penelitian yang mendalam terhadap isu dibincangkan agar setiap patah kata mempunyai makna dan tujuan.
“Aspek yang paling sukar adalah menjiwai dan menghayati setiap aksara agar dapat diterjemahkan dengan penyampaian terbaik.
“Pidato adalah seni untuk menyampaikan maklumat yang kompleks dalam bahasa mudah untuk difahami.
“Menghafal teks itu mudah dan boleh dilakukan semua orang. Namun, untuk mengawal dinamika emosi, bila perlu bertegas, merayu penuh kelembutan serta bagaimana mengekalkan adab dan estetika bahasa dalam tempoh singkat sangat rumit.
“Bagi menyampaikan pidato dari jiwa, kita memerlukan penghayatan dan kefahaman kendiri yang sangat tinggi. Itu adalah cabaran utama sebagai seorang pemidato,” tuturnya.

Sementara itu, mengulas mengenai pidatonya di PABM 2026, Aiena Batrisyia memberitahu, ia membawa mesej sangat penting iaitu mengangkat peradaban kehidupan yang semakin hilang.
“Kita (manusia) bukan sekadar hidup, namun perlu mempunyai kehidupan.
“Maka kita perlu memelihara alam sekitar, bahasa Melayu dan mengawal penggunaan teknologi bagi memanusiakan masyarakat pada hari ini,” katanya.
Berkongsi detik paling sukar yang tidak dapat dilupakan sepanjang bergelar pemidato, Aiena Batrisyia memaklumkan, dia sukar menerima kegagalan dalam pertandingan selepas membuat persiapan dengan penuh kesungguhan.
“Ketika itulah, saya belajar bahawa tidak semua usaha akan terus membuahkan kemenangan.
“Namun, pengalaman tersebut mengajar saya untuk lebih tabah, memperbaiki kelemahan dan melihat setiap kegagalan sebagai ruang untuk berkembang.
“Hakikatnya, kekalahan sering kali menjadi ‘guru’ yang lebih baik daripada kemenangan,” katanya sambil berterima kasih kepada ibu bapa dan guru yang menjadi sumber kekuatannya.
Dalam pada itu, dia mengakui, ramai anak muda berdepan masalah keyakinan diri terutama ketika berucap di khalayak ramai.
Gadis yang aktif dalam sukan memanah itu juga mengakui berdepan masalah sama, namun dia sentiasa berusaha mengatasinya.
Jelasnya, keyakinan diri bukan sesuatu yang lahir secara semula jadi, sebaliknya ia perlu dibina dengan proses berterusan.
“Gemuruh itu fitrah, tanda kita menghormati pentas dan audiens yang mendengar.
“Cara saya mengawalnya adalah dengan membetulkan pemikiran kendiri dan niat yang betul.
“Saya tidak naik ke pentas untuk bertanding atau menewaskan sesiapa, saya naik untuk menyampaikan sebuah kebenaran dan amanah ilmu.
“Dengan teknik pernafasan yang betul serta doa tidak pernah putus, saya berjaya tukar tenaga gemuruh dalam diri kepada momentum penyampaian lebih sempurna.
“Semakin kerap seseorang mencabar diri untuk bercakap di hadapan khalayak, semakin kuat keyakinan yang akan terbina,” ujarnya.
Mengulas mengenai perancangan masa depan, Aiena Batrisyia memberitahu, dia bercita-cita untuk terus menyumbang bakti dalam bidang perundangan, pendidikan dan pembangunan anak muda, usai tamat pengajian kelak.
“Pada masa sama, saya ingin terus memperjuangkan budaya ilmu serta memperkasa pengucapan awam dalam kalangan generasi muda.
“Pesanan saya kepada pelajar yang ingin menceburi bidang ini, jangan sesekali takut untuk bermula.
“Hakikatnya, kemenangan ini tidak mengubah pandangan saya.
“Sebaliknya, ia memperkukuh dan mengabsahkan apa yang saya percaya selama ini iaitu anak muda Malaysia tidak pernah kekurangan potensi.
“Kita mempunyai kualiti pemikiran kelas pertama yang mampu bersaing di peringkat tertinggi,” katanya.














