fbpx
Gambar hiasan. - Foto oleh FARIZ RUSADIO / KOSMO!

Diesel subsidi guna MyKad, hampir 1 juta liter terjual hari pertama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelaksanaan akses awal pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad menerusi program Budi Madani Diesel (Budu Diesel) berjalan lancar pada hari pertama tanpa sebarang aduan atau masalah serius dilaporkan.

Kementerian Kewangan memaklumkan, hampir 24,000 transaksi direkodkan pada 27 Jun lalu membabitkan pembelian hampir satu juta liter diesel bersubsidi bernilai RM2.1 juta pada harga RM2.15 seliter.

Menurut kementerian itu, sistem pengesahan MyKad di stesen minyak beroperasi dengan baik hasil kerjasama pengguna, pengusaha stesen minyak, syarikat minyak serta agensi pelaksana.

“Pelaksanaan akses awal ini merupakan persediaan sebelum pelaksanaan penuh Budi Diesel di seluruh negara bermula 1 Julai depan.

“Mulai tarikh itu, warganegara yang layak boleh membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, subsidi diesel bagi pemilik kenderaan diesel persendirian disalurkan melalui Budi Diesel dengan had asas 200 liter sebulan.

Bagi pemilik pikap dan kenderaan utiliti sukan (SUV) diesel yang layak, mereka boleh memohon tambahan 100 liter menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan.

Setakat pukul 11 pagi hari ini, portal rasmi Budi Madani menerima lebih 13,000 permohonan baharu bagi tambahan kuota tersebut.

Dalam pada itu, subsidi diesel untuk sektor pengangkutan awam, logistik dan kenderaan komersial yang layak terus disalurkan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Kerajaan turut bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi memuktamadkan data kumpulan pengguna lain yang bergantung kepada diesel di kawasan luar bandar, pedalaman dan laluan sungai supaya tiada golongan layak tercicir daripada bantuan subsidi.

Kementerian Kewangan berkata, pelaksanaan Budi Diesel akan terus dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas rakyat serta industri.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN