KUALA LUMPUR – Memuat naik video tidak berbaju, pelakon Yusuf Bahrin mengakui hanya menonjolkan sisi sebenar dirinya yang sudah lama umum mengetahui.
Pada masa sama, Yusuf, 33, menegaskan tindakan tersebut dilakukan tiada kaitan dengan status dirinya yang sudah bercerai.
“Saya dah jumpa diri saya yang lama, tak ada sebab selepas bercerai atau masih status suami orang buat begitu, tiada perbezaan.
“Kalau kalian kenal saya daripada mula, saya punya kandungan atau hantaran memang dah lama tak pakai baju sebelum saya kahwin lagi.
“Tapi orang baru nampak balik saya buat hantaran begitu. Biasalah ada yang terkejut atau buat-buat terkejut, saya rasa benda itu bukan baru,” katanya kepada Kosmo! Online semasa majlis pelancaran produk wangian NBDY, di sini hari ini.
Pelakon drama Seindah Hujan Cinta itu enggan peduli dengan kritikan netizen termasuk tidak tersinggung atas apa yang berlaku.
“Ini diri saya, macam saya cakap tak pernah tukar jadi sesiapa.
“Buat apa yang saya nak buat. Tak peduli apa orang cakap atau nak menghakimi.
“Tak kisah atau ambil hati langsung. Kalau orang suka, suka, kalau tak, nak buat macam mana tidak boleh kawan,” ujarnya.
Dedahnya lagi, dia tidak membaca segala komen dalam media sosial dan membiarkan semua perbalahan.
“Saya tak baca komen, kalau komen kawan-kawan saja saya baca.
“Kalau nak baca komen semua yang seram memang tidak, biarlah mereka berborak.
“Kadang-kadang mereka bergaduh sesama mereka dalam itu (ruangan komen), biarlah,” tuturnya.
Sebelum ini, Yusuf berkongsi rutin hariannya termasuk meluangkan masa di gimnasium serta menjalani penggambaran.
Bagaimanapun, ramai yang kurang senang dengan tindakannya memuat naik tanpa baju sekali gus menampilkan auratnya secara terbuka.
Untuk info, Yusuf dan penyanyi, Zizi Kirana mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021.
Namun, pasangan ini tidak dikurniakan cahaya mata dan sah bercerai dengan talak satu secara raji’e pada 2 April lalu. – KOSMO! ONLINE














