fbpx
Ajak meluahkan rasa kesal apabila video lama membabitkan dirinya tular di media sosial sehingga mencetuskan salah faham netizen.

‘Untuk perjuangkan mana-mana parti, itu bukan impian saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Nama terkait dengan polemik politik, pelawak juga penyampai radio, Ajak meluahkan rasa kesal apabila video lama membabitkan dirinya tular di media sosial sehingga mencetuskan salah faham netizen.

Ajak atau nama sebenarnya Mohd. Hanaffi Razak, 40, berkata, mana-mana pihak diharap tidak menjadikan dirinya sebagai ‘perisai’ dalam sebarang percaturan mahupun konflik politik.

“Saya sebenarnya orang yang tak nak masuk campur hal orang. Tapi bila baru-baru ini mereka naikkan semula isu saya dengan menggunakan video lama itu, saya rasa terkilan.

“Bagi saya kalau mereka orang politik, berlawanlah secara politik. Janganlah gunakan saya sebagai perisai. Kalau guna saya sebagai perisai, saya rasa benda itu kurang elok.

“Sebab bahagian diambil hanya cerita awal sedangkan cerita itu sudah ada penghujungnya. Saya rasa naratif itu sengaja dimainkan supaya orang keliru,” katanya ketika ditemui pada Pentas Komedi Panggung Suria di Dewan Bahasa dan Pustaka, semalam.

Mengulas isu yang kembali dibangkitkan, penyampai radio Suria FM itu menegaskan perselisihan faham antaranya dengan rakan seperjuangan, Shahrol Shiro sudah lama berakhir selepas mereka saling bermaafan.

“Saya tak kisah kalau orang nak cari buah yang busuk, tetapi kena beritahu juga ada buah yang elok masih tergantung di dahan. Maksudnya, perkara itu sudah pun selesai.

“Kami sudah bermaafan. Bila saya dah maaf, saya dah lupakan dan saya dah ‘move on’,” ujarnya.

Mengulas pertemuan dengan Shahrol yang tular dalam media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen, Ajak berkata, dia tidak mampu mengawal persepsi orang ramai.

“Apa yang orang nak cakap kita tak boleh kawal. Kita ini manusia biasa, memang ada rasa marah. Tapi bila saya dah marah, saya dah maafkan. Bila dah maafkan, saya dah lupakan.

“Jadi bila saya jumpa kawan saya itu, dia sama sahaja macam biasa. Saya rasa sebenarnya tak ada isu nak kata Shahrol guna saya atau apa-apa.

“Kalau pun Shahrol berniat begitu, saya datang sebab nak jumpa dia. Saya tak faham sangat politik. Politik ini muka senyum-senyum tapi mereka tak berkawan. Ada yang depan-depan tak senyum, rupanya di belakang berkawan. Sebab itulah saya rasa saya tak sesuai berada di pentas itu,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan menceburi bidang politik pada masa depan, bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu mengakui setiap rakyat perlu memahami politik, namun tidak pernah bercita-cita memperjuangkan mana-mana parti.

“Tak boleh kita cakap tak akan sebab politik ini salah satu medium untuk pastikan negara bergerak. Sebagai orang dewasa, kita kena tahu politik.

“Untuk terjun dan memperjuangkan mana-mana parti, itu bukan cita-cita saya tapi tak bermakna saya tak sayangkan bangsa atau negara saya.

“Kalau nak cakap pasal sayangkan negara, umur saya 18 tahun saya dah pegang senapang. Saya pernah bertugas di Labuan sebelum dipindahkan ke Sarawak ketika berkhidmat sebagai anggota TLDM.

“Orang tak boleh pertikai kesetiaan saya kepada negara. Cuma saya tak boleh teruskan dalam bidang politik,” ulasnya.

Terdahulu, tular semula rakaman video temu bual lama Ajak bersama sebuah portal hiburan yang dimuat naik di akaun Threads, Jebat Derhaka 2026, ketika dia didakwa dalam fasa berselisih faham dengan Shahrol Shiro.

Potongan video tersebut dipercayai sengaja dikitar semula bagi menghangatkan semula isu berkenaan ketika Shahrol kini aktif dalam dunia politik.

Konflik antara Shahrol dan Ajak bermula apabila mereka saling berbalas kenyataan di media sosial membabitkan isu sebuah stesen radio, malah difahamkan hubungan itu dingin sejak lima tahun sebelumnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN