fbpx
MOHD.REZZA menggunting rambut seorang pelanggan di kedainya di Ipoh baru-baru ini.

Dari suka-suka, kini Mohd. Rezza miliki premis sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang tukang gunting rambut membuktikan cita-citanya untuk memiliki premis sendiri sejak zaman sekolah akhirnya dapat direalisasikan biarpun terpaksa melalui pelbagai cabaran.

Mohd. Rezza Abdul Shukor, 39, berkata, impiannya mahu bergelar tukang gunting rambut profesio­nal yang menawarkan perkhidmatan kepada semua orang tanpa mengira kaum bermula sejak remaja.

“Saya mula mengambil upah menggunting rambut sejak bersekolah menengah lagi. Mulanya sekadar suka-suka tetapi akhirnya dapat membantu meringankan beban keluarga kerana arwah ayah dahulu hanya bekerja sebagai posmen selain ibu suri rumah.

“Tidak berhenti sekadar itu, sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya bekerja dengan jawatan akhir sebagai Koperal Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Dapat juga tambah pendapatan hasil upah gunting rambut rakan-rakan sekerja,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kedai Gunting Rambut Jayjars di sini kelmarin.

Mohd. Rezza berkata, sebaik sahaja meninggalkan kerjaya sebagai penjawat awam, dia meneruskan minatnya itu dengan mengutip pengalaman bekerja di sebuah kedai gunting sebelum memiliki premis sendiri.

“Saya bekerja dengan orang dahulu sebelum mengambil keputusan memulakan perniagaan dari rumah. Sambutan diterima cukup baik dengan pendapatan boleh mencecah empat angka sebulan.

“Disebabkan saya belum berkahwin dan menetap dengan keluarga, jadi gaji yang diterima banyak dapat disimpan,” katanya yang dalam fasa bertunang dan bakal berkahwin November ini.

Jelasnya, bantuan pembayar zakat secara konsisten menerusi Zakat Perak Al Ridzuan (ZAPAR) iaitu sebuah agensi korporat milikan penuh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) membolehkannya mengikuti program berimpak tinggi oleh untuk masa depan yang lebih cerah.

“Mulanya saya mengikuti program iTEKAD ISHRAF iaitu sebuah program pemerkasaan ekonomi yang dijalankan melalui kerjasama strategik antara pihak perbankan SME Bank, YaPEIM dan MAIPk yang membolehkan menerima geran berbentuk peralatan sebanyak RM10,000.

“Selepas itu, saya mengikuti ­kursus kursus Pro­per A iaitu program pemerkasaan ekonomi asnaf oleh MAIPk berkaitan industri ­fesyen rambut selain me­nerima barangan kelengkapan untuk perkhidmatan bernilai kira-kira RM3,000,” katanya.

Mohd. Rezza memaklumkan, MAIPk menjadi pendorong utama sehingga akhirnya dia mampu memiliki kedai gunting sendiri.

“Premis ini agak baharu tidak sampai lima tahun tetapi sambutan yang diterima cukup menggalakkan jadi pendapatan kasar setanding pengurus dan eksekutif profesional.

“MAIPk juga melorongkan jalan untuk saya mengikuti latihan untuk perkhidmatan bekam dan mengurut (lelaki sahaja) sehingga layak dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Tiga memboleh­kan model perniagaan bersifat pelbagai,” katanya.

Dia juga ditawarkan kursus profesional bagi perkhidmatan gun­ting rambut selain jurulatih bagi kemahiran tersebut oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak). Malah Mohd. Rezza pernah mengendalikan latihan kepada pelatih pusat pemulihan dadah selain servis percuma kepada pesakit kronik yang terlantar sekitar Ipoh.

Inisiatif tersebut menepati flagship Keempat pelan Perak Sejahtera 2030, Koridor TVET Malaysia dan flagship Kelima Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat yang menjadi tunjang kepada visi Menteri Besar , Datuk Seri Saarani Mohamad dalam membawa negeri ke arah kemajuan menyeluruh berteraskan kemapanan dan ­kesejahteraan rakyat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN