KUALA LANGAT – Kegiatan mencuri kabel dikenal pasti antara punca sistem pengurusan banjir di Selangor terjejas sehingga menyebabkan kemudahan pam air gagal beroperasi ketika diperlukan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim berkata, perkara itu dikesan selepas pam skru di Kampung RTB Bukit Changgang di sini yang dipasang sejak lima tahun lalu tidak berfungsi selepas kabelnya dicuri.
Katanya, keadaan itu menyebabkan usaha mengepam air keluar dari kawasan banjir menjadi tidak lancar selepas kejadian ban pecah yang melanda kampung berkenaan.
“Kesannya kita terpaksa berbelanja sebanyak RM200,000 lagi (tambahan) termasuk untuk pemasangan kabel bagi menjana pam air. Ini bukan kejadian yang pertama.
“Jabatan Pengairan dan Selangor (JPS) negeri turut mengesan kegiatan sama di Kuala Selangor,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Justeru, katanya, pihaknya membawa isu kecurian kabel tersebut dalam mesyuarat Exco selain berbincang dengan Ketua Polis Selangor bagi menubuhkan pasukan khas dalam usaha membanteras kes tersebut.
“Kita juga sedang mempertimbangkan pemasangan televisyen litar tertutup (CCTV) dan langkah-langkah keselamatan tambahan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Kuala Langat, Tengku Rohana Tengku Nawawi berkata, seramai 428 mangsa daripada 199 keluarga mendaftar di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan RTB Bukit Changgang setakat pukul 3.52 petang tadi.
Katanya, PPS itu mula dibuka pukul 10 pagi dengan mangsa banjir ditempatkan di dua buah dewan terbuka dan 10 buah kelas.
“Setakat ini, keperluan khemah mencukupi dan kita akan menambah mengikut keadaan. Saya akan berhubung dengan Pejabat Pendidikan Daerah bagi memastikan sekolah ini dapat diteruskan sebagai PPS sekiranya diperlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














