fbpx
SAIFOL Nizam (tengah) didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini untuk 146 pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM183,500 pada 2022 hingga 2023.

Penolong jurutera tidak mengaku terima suapan RM183,500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Seorang penolong jurutera mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 146 pertuduhan menerima suapan wang berjumlah RM183,500 pada 2022 hingga 2023.

Tertuduh, Saifol Nizam Mat Zin, 49, yang bertugas di Bahagian Pembangunan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Kerian membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Bapa tiga anak itu didakwa menerima wang yang dimasukkan individu diketahui mempunyai hubungan kerja-kerja rasmi ke dalam akaun bank yang kemudian dikeluarkan secara ‘cash withdrawal’ atau tunai oleh tertuduh.

Perbuatan itu dilakukan pada 3 Januari 2022 hingga 11 Oktober 2023 di sekitar Kerian dan pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharul Azuan Ghazali mencadangkan jaminan sebanyak RM146,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Selain itu, pihak pendakwaan turut mencadangkan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan melapor diri di pejabat SPRM pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai.

Bagaimanapun, peguam P. Ravee memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya yang berpendapatan RM6,000 sebulan menanggung tiga anak yang masih bersekolah selain komitmen rumah dan kereta.

Mahkamah membenarkan lelaki itu diikat jamin RM50,000 bagi kesemua pertuduhan dan mengarahkan tertuduh melapor diri ke pejabat SPRM Ipoh pada Jumaat minggu pertama setiap bulan.

Hakim Meor Sulaiman juga memerintahkan tertuduh supaya menyerahkan pasport kepada mahkamah selain tidak mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Ogos ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN