PETALING JAYA – Penyanyi Irfan Haris mendedahkan kakaknya Amira Othman mendapat inspirasi nama untuk anak sulungnya, Muhammad Jarir Umar selepas menghadiri kelas agama sebelum ini.
Irfan berkata, perkara tersebut dikongsi sendiri Amira kepadanya selain memberitahu Jarir merupakan salah seorang sahabat Nabi Muhammad SAW.
“Saya rasa nama itu dipilih bersama Amira dan Fattah Amin tetapi kakak dapat inspirasi dari kelas agama dia.
“Dia cerita pada saya, Jarir ini sebenarnya nama sahabat Nabi dulu sewaktu zaman perang.
“Dia terinspirasi daripada nama itu dan seluruh keluarga saya panggil Jarir saja,” katanya dalam satu temu bual radio.
Dalam pada itu, dia semoat menitipkan doa agar anak buahnya dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan menjadi lelaki yang soleh.
“Alhamdulillah rezeki dikurniakan cahaya mata dan sangat gembira untuk kakak serta abang ipar saya.
“Sebagai adik, saya sentiasa doakan yang baik-baik. Semoga Jarir menjadi anak yang soleh dan baik untuk ibu bapanya, insya-Allah.
“Tolong doakan kakak saya cepat sembuh dan sihat,” katanya lagi.
Semalam, Fattah berkongsi berita gembira dengan memaklumkan Amira selamat melahirkan anak sulung mereka di sebuah pusat perubatan swasta kelmarin. – KOSMO! ONLINE














