SEPANG- Insiden ban pecah di Bukit Changgang semalam dilihat sebagai isyarat awal dan keperluan mendesak bagi mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan banjir jangka panjang di kawasan berkenaan.
Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, beliau sendiri akan mengangkat keperluan Pakej 3 Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Langat 2 kepada kerajaan Persekutuan melalui kementerian berkaitan.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perunahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pakej tebatan banjir itu adalah langkah penyelesaian jangka panjang yang boleh dilaksanakan sebagaimana yang dibincangkan bersama pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
“Isu berkaitan ban ini sememangnya telah mendapat perhatian serius kerajaan negeri malah, peruntukan sebanyak RM7 juta telah diluluskan sebelum ini bagi menggantikan ban tanah sedia ada dengan penggunaan panel konkrit yang lebih kukuh dan mampan.
“Kerja-kerja projek tersebut telah dimulakan pada 6 Mei lalu dan dijangka siap pada Januari 2027. Namun, susulan kejadian terbaru ini, JPS Daerah dan JPS Negeri telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan penduduk menjadi keutamaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum itu, Aiman Athirah telah turun padang menziarahi dan menyantuni mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) RTB Bukit Changgang, hari ini.
Aiman Athirah berkata, beliau bersama Pengarah JPS negeri dan JPS Kuala Langat telah meninjau lokasi ban yang pecah bagi melihat keadaan sebenar di lapangan serta tindakan intervensi dan pemulihan yang sedang dilaksanakan.
“Saya merakamkan penghargaan kepada semua petugas agensi, pasukan penyelamat, sukarelawan dan pengurusan PPS yang terus berkhidmat tanpa mengenal masa demi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terpelihara,” katanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, lebih 30 buah rumah dekat Taman Langat Utama 2, Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, di sini dinaiki air pada kedalaman hampir satu meter selepas berlaku limpahan Sungai Langat akibat ban pecah, awal pagi tadi. – KOSMO! ONLINE














