fbpx
Tertuduh ketika dibawa ke Mahkamah Jenayah Seksual di Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.

Bapa meringkuk dalam penjara 39 tahun, perkosa anak 12 tahun sampai hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – “Kesalahan yang dilakukan tertuduh amat keji dan penderitaan yang dialami seorang kanak-kanak sejak berumur 12 tahun tidak dapat diketepikan. Kelakuan tertuduh ibarat haruan makan anak.”

Demikian kata Hakim Datin M. Kunasundary sebelum menjatuhkan hukuman penjara 39 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang bapa atas tiga tuduhan merogol anak perempuannya sejak berusia 12 tahun.

Terdahulu, tertuduh mengaku salah atas ketiga-tiga pertuduhan tersebut di Mahkamah Jenayah Seksual di sini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan perbuatan keji tersebut pada awal tahun 2024, penghujung 2024 dan bulan ini antara pukul 12 tengah malam sehingga 12 tengah hari.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376B(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, V. Suloshani, manakala tertuduh tidak diwakili mana-mana peguam.

Kunasundary berkata, hukuman itu diputuskan selepas mahkamah mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh pada hari pertama lelaki itu dihadapkan ke mahkamah.

Beliau menegaskan, kesalahan yang dilakukan tertuduh amat keji. Oleh itu penderitaan yang dialami mangsa sejak berusia 12 tahun tidak boleh diketepikan.

“Dalam menjatuhkan hukuman ini, mahkamah sedar tertuduh telah mengaku bersalah pada tarikh pertama dihadapkan ke mahkamah. Namun kesalahan yang dilakukan tertuduh merupakan satu kesalahan yang amat keji.

“Penderitaan yang dialami oleh seorang kanak-kanak sejak berumur 12 tahun tidak dapat diketepikan. Kelakuan tertuduh ibarat haruan makan anak,” katanya hari ini.

Selain hukuman penjara dan sebatan, mahkamah turut mengarahkan tertuduh menjalani kaunseling pemulihan sepanjang di penjara selain pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat tempoh hukuman.

Mengikut fakta kes, kejadian rogol itu terbongkar selepas tertuduh membawa mangsa ke sebuah hospital untuk pemeriksaan sebelum mangsa disahkan hamil enam minggu empat hari pada 18 Jun lalu.

Mangsa dikatakan dipaksa melakukan hubungan seksual bersama bapanya sejak berusia 12 tahun sebelum hamil. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN