BUKIT GANTANG – Sebanyak empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) dekat sini ekoran kejadian banjir yang melanda beberapa kawasan sejak petang tadi.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak berkata, empat PPS tersebut ialah Dewan Perdana Trong, Dewan Terbuka Masjid Al-Wusta, Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Ibol dan SK Matang Gelugor.
“Proses pendaftaran mangsa dari kawasan terlibat seperti Kampung Batu 11 dan Kampung Batu 9 masih lagi berjalan.
“Setakat hari ini, mangsa banjir yang direkodkan ialah seramai 50 orang melibatkan 16 buah keluarga dari Kampar, dengan mereka ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Gopeng,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kesemua mangsa dari Kampar itu merupakan penduduk Kampung Ulu Geruntum. – KOSMO! ONLINE














