KAJANG – Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun ditemukan meninggal dunia di kawasan tadahan air kira-kira dua kilometer dari lokasi dipercayai terjatuh ke dalam longkang berhampiran Masjid Bandar Sri Putra, di sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 4.23 petang.
Menurut beliau, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semenyih yang berada di bawah kawasan jagaan BBP Bangi bergegas ke lokasi sejurus menerima laporan dan tiba pada pukul 4.48 petang.
“Mangsa berjaya dijumpai pada jarak dua kilometer dari tempat jatuh di kawasan tadahan air. Bomba kini sedang menunggu pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE














