PUTRAJAYA – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew dan ahli perniagaan Phang Li Koon gagal dalam rayuan mereka untuk membatalkan pertuduhan rasuah melibatkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta dan pengubahan wang haram.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama Datuk Noorin Badaruddin dan Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid memutuskan demikian selepas menolak rayuan ketiga-tiganya selaku perayu.
Dalam penghakiman yang dibacakan Hakim Noorin, mahkamah mendapati keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak rayuan mereka adalah betul.
Sebelum ini mahkamah telah selesai mendengar hujahan daripada peguam Datuk Seri V. Sithambaram yang mewakili Li Koon, peguam RSN Rayer mewakili Guan Eng dan isterinya serta Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul.
Pada 3 Mei 2024, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan ketiga-tiga perayu untuk membatalkan pertuduhan berkenaan, dengan menyatakan doktrin autrefois acquit atau peraturan terhadap pendakwaan berganda yang dihujahkan oleh pihak pembelaan tidak terpakai kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan.
Pada 26 Mei 2023, Guan Eng, Betty, Chew dan Li Koon memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram atas alasan pihak pendakwaan menggunakan keterangan daripada kes terdahulu membabitkan pembelian banglo oleh Guan Eng di Jalan Pinhorn, walaupun beliau dibebaskan dan dilepaskan pada 2018.
Mengikut pertuduhan, Guan Eng sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) didakwa telah menggunakan kedudukan untuk suapan iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan bernilai RM11,610,000 yang Betty Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.
Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan terbabit antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar di George Town, Pulau Pinang yang didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi seksyen itu membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu Li Koon didakwa bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Guan Eng dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama dan boleh dihukum di bawah seksyen dan hukuman serupa.
Betty Chew didakwa atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM372,009 daripada syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang telah dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya.
Wanita itu dituduh melakukan kesalahan itu pada tarikh berbeza antara 7 Oktober 2013 dan 4 Ogos 2014, 3 Septemner 2014 dan 11 Ogos 2015 serta 4 September 2015 dan 3 Mac 2016 di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melaka Raya, Melaka.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Setakat ini es rasuah mereka masih belum didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. – KOSMO! ONLINE














