KAJANG – Sebuah lori yang membawa muatan cat terbakar hampir 80 peratus dalam kejadian di Plaza Tol Sungai Ramal menghala ke Jalan Reko, di sini petang tadi.
Kebakaran itu turut merebak dan mengakibatkan sebuah pondok tol musnah kira-kira 90 peratus.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.55 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dikejarkan ke lokasi.
“Kebakaran melibatkan sebuah lori tiga tan yang membawa muatan cat. Kebakaran dipercayai bermula di bahagian hadapan kenderaan sebelum merebak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, seramai enam anggota bersama sebuah jentera terlibat dalam operasi pemadaman. Tiada mangsa dilaporkan terlibat atau mengalami kecederaan.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














