fbpx
MENERUSI Tarik Picu, Fazleena tidak ditawarkan sebaliknya dia dengan beraninya menawarkan diri sebagai pengarah teater berkenaan.

Tarik Picu cuba sentuh hal batin, konflik manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI pentas gelap penuh rahsia, manusia sering menjadi pelakon tanpa skrip, terperangkap antara pilihan, trauma dan dosa silam. Begitulah gambaran tentang sebuah naskhah berani menggoncang jiwa dan merobek emosi, Tarik Picu, teater terbaharu yang menjanjikan ledakan rasa tanpa sempadan.

Menerusi produksi ke-12 tersebut, Mask Team tampil mempertaruhkan keberanian dengan mementaskan Tarik Picu dari 16 hingga 19 Julai 2026 di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).

Naskhah sulung yang belum pernah dipentaskan tersebut merupakan buah tangan Amar Amir, manakala kerusi pengarahan digalas penulis serta penggiat teater, Fazleena Hishamuddin.

Menurut Fazleena, perjalanan menerima naskhah tersebut bukan sebuah kebetulan, sebaliknya satu panggilan yang disahut dengan keberanian.

“Saya sendiri menawarkan diri. Saya rasa sudah bersedia untuk mengarahkan teater panjang.

“Sebelum ini saya pernah mengarah dua teater panjang bersama NGO melibatkan anak-anak marginal dan yatim, juga ditulis oleh Amar Amir.

“Apabila diberi kepercayaan, saya menyahut cabaran walaupun selepas membaca skrip, saya akui ia sangat mencabar, namun hidup tanpa cabaran, apa ertinya hidup,” katanya kepada HibGlam.

Mengupas lebih mendalam, Fazleena menjelaskan Tarik Picu bukan sekadar kisah rompakan, sebaliknya menyelami konflik dalaman manusia yang tidak pernah berakhir.

“Tema besar naskhah ini ialah perjuangan hidup. Manusia sebenarnya tidak pernah keluar daripada ‘penjara’ sendiri.

“Kita hidup dengan trauma masa lalu dan perjuangan pahit, Tarik Picu memberi bayangan bahawa perjuangan manusia tidak pernah selesai.

“Kami mahu membawa rompakan dalam skala lebih besar, rompakan jiwa, psikologi dan kehidupan, bukan sekadar pistol, darah atau perangkap,” ujarnya.

DITERBITKAN Mask Team, Tarik Picu yang menampilkan barisan pelakon seperti Arfie Shah, Idan Aedan, Jay Iswazir, Khenobu dan Amalina Arham bakal menemui penonton pada 16 hingga 19 September nanti bertempat di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre. – SADDAM YUSOFF

Risiko klise

Menjawab persoalan mengenai lambakan karya bertema gelap, Fazleena mengakui risiko klise sentiasa wujud, namun pendekatan psikologi menjadi nadi kekuatan naskhah tersebut.

“Isu rompakan mudah jadi klise, bunuh, dendam, pengkhianatan dan siapa dapat duit, tetapi kami cuba keluar daripada kerangka itu. Kami elakkan adegan pecah kedai atau aksi stereotaip.

“Kami mahu menyentuh hal batin, jiwa dan konflik manusia. Jika penceritaan tidak menyelami jiwa, karya akan gagal,” jelasnya.

Dalam masa sama, dia optimis dengan barisan pelakon muda atau Gen Z yang diberi peluang menghidupkan karakter kompleks dalam pementasan tersebut.

“Kita tidak boleh takut memberi ruang kepada pelapis. Mereka mungkin kelihatan muda dan rapuh, tetapi potensi mereka besar.

“Dalam beberapa tahun lagi, wajah-wajah ini akan mendominasi industri. Ini masa untuk mereka membuktikan kemampuan,” ungkapnya.

Sementara itu, penerbit Juan Ab. Aziz berkata pementasan terbabit menjanjikan pengalaman teater mendebarkan, sarat emosi serta penuh konflik realiti masyarakat.

“Tarik Picu lahir daripada pemerhatian terhadap kehidupan sekeliling dan mengangkat suara dan pengalaman ramai, khususnya golongan muda yang sedang mencari tempat dalam dunia mencabar.

“Kami berharap penonton bukan sahaja menikmati persembahan, tetapi pulang dengan persoalan dan renungan,” tuturnya.

Menampilkan barisan pelakon seperti Arfie Shah, Idan Aedan, Jay Iswazir, Khenobu dan Amalina Arham, naskhah tersebut menggabungkan elemen drama, suspens dan tragedi dalam satu perjalanan emosi yang mencengkam.

Kisahnya merungkai erti kesetiaan, maruah tergadai serta tekanan hidup yang menjerat manusia dalam situasi tanpa jalan keluar. Semakin mereka cuba meloloskan diri, semakin dalam terperangkap dalam konflik tidak berkesudahan.

Setiap tindakan membuka luka baharu, setiap keputusan mengundang bencana lebih besar. Dalam kancah penuh tekanan, persahabatan diuji, kepercayaan musnah, manakala nyawa menjadi taruhan.

Di penghujung cerita, satu persoalan besar menggantung, siapakah sebenarnya yang menarik picu? Keadaan, manusia atau diri sendiri?

Berbaki tidak sampai sebulan sebelum pementasan, tiket Tarik Picu mula dijual sejak 16 Jun lalu menerusi www.onetix.com.my dengan harga RM58, RM88 dan RM108

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN