BAGI kebanyakan remaja pada hari ini, minat terhadap permainan video, sukan atau muzik mungkin dianggap hobi biasa. Disebabkan itu, Eilhan Dzamir, 13, cuba mencipta kelainan dengan memilih hobi mengumpul minyak wangi.
Lebih menarik, minat tersebut bukan sahaja berkembang sebagai hobi, malah turut membuka peluang kepadanya berkongsi pengetahuan dan ulasan mengenai minyak wangi menerusi TikTok.
Menurut remaja yang berasal dari Kuala Lumpur itu, minatnya terhadap hobi tersebut bermula selepas dia mencuba beberapa jenis minyak wangi, sebelum menyedari bahawa setiap satunya mempunyai karakter serta identiti tersendiri.
“Dari situ, saya mula belajar tentang notes wangian dan berkongsi pendapat mengenai minyak wangi di TikTok,” katanya ketika ditemu bual K-Remaja baru-baru ini.
Bagi Eilhan, wangian bukan sekadar pelengkap penampilan, sebaliknya mampu memberikan keyakinan kepada seseorang.
Faktor itu menjadi antara sebab utama dia tertarik untuk mendalami bidang tersebut berbanding hobi lain yang lebih popular dalam kalangan remaja seusianya.
“Saya suka berkongsi cadangan minyak wangi berkualiti pada harga mampu milik untuk remaja seperti saya,” ujarnya.
Ketika ini, Eilhan memiliki sekitar 45 botol minyak wangi dalam koleksinya. Daripada jumlah tersebut, terdapat satu wangian yang mempunyai nilai sentimental yang cukup istimewa buatnya iaitu Lattafa Khamrah Qahwa.
Menurutnya, wangian itu menjadi titik permulaan yang membuka minat Eilhan terhadap dunia minyak wangi serta menghasilkan kandungan ulasan mengenai notes wangian di media sosial.

Sebagai seorang pengulas minyak wangi (perfume reviewer) muda, Eilhan mengakui, antara perkara paling menyeronokkan adalah peluang berinteraksi dengan pengikut dan membantu mereka mencari wangian sesuai mengikut bajet dan cita rasa.
“Seronok apabila dapat berkongsi cadangan dan membantu orang lain memilih wangian mereka suka,” katanya.
Biarpun ada pihak yang menganggap minat mengumpul minyak wangi sebagai sesuatu rare bagi seorang remaja masih belajar, namun Eilhan bersyukur kerana keluarga dan rakan-rakannya sentiasa memberikan sokongan.
“Pada awalnya, ada yang menganggap minat ini agak luar biasa kerana kebanyakan remaja mempunyai hobi lain.
“Namun, keluarga dan rakan-rakan tetap memberi sokongan apabila melihat kesungguhan saya menghasilkan kandungan berkaitan minyak wangi,” katanya.
Melalui hobi tersebut, Eilhan bukan sahaja mempelajari pelbagai jenis notes wangian, malah mengasah kemahiran menghasilkan kandungan kreatif, berkomunikasi dengan audiens serta menyampaikan ulasan jujur dan mudah difahami.
Bagi Eilhan, buat masa ini, wangian segar, bersih dan sedikit manis paling menggambarkan personalitinya yang santai, ceria serta mudah didekati.
“Minat yang bermula sekadar rasa ingin tahu itu kini menjadi hobi unik yang mampu menjadi medium pembelajaran, kreativiti dan inspirasi kepada remaja lain,” ujarnya.
Menariknya, jika tidak terlibat dalam dunia wangian, Eilhan berkata, dia mungkin akan menceburi hobi silap mata kerana gemar mempelajari helah baharu dan menghiburkan orang lain.
Selain dunia wangian, Eilhan juga aktif dalam pelbagai aktiviti lain yang mencabar fizikal dan mental.
Antaranya termasuklah menyertai acara triathlon, berenang serta seni mempertahankan diri.
Menurut Eilhan, penglibatan dalam aktiviti tersebut banyak mengajarnya tentang disiplin, ketahanan mental dan kepentingan pengurusan masa yang baik.
Malah, dia mempunyai minat terhadap aktiviti yang menguji kreativiti dan daya pemikiran.
Katanya, antara hobi yang ingin terus diasahnya adalah permainan rubik’s cube serta seni silap mata kerana kedua-duanya memerlukan fokus, kreativiti dan latihan yang berterusan.














