fbpx
Gambar Hiasan

Lelaki dipenjara balasan ugut selepas bergaduh dengan isteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MACHANG – Seorang penjual minyak wangi dipenjara sembilan bulan atas pertuduhan mengugut untuk membakar rumah selepas isterinya keluar tanpa izin ketika bergaduh berkaitan nafkah sewa rumah minggu lalu.

Majistret Rais Imran Hamid menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara sembilan bulan sekiranya gagal bayar selepas tertuduh, Muhammad Shahril Mat Sali, 32, mengaku bersalah atas pertuduhan itu di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan ugutan terhadap mangsa berusia 35 tahun dengan menyatakan jika keluar rumah tanpa izinnya sekali lagi, tertuduh akan membuang barang dan membakar rumah.

Ugutan dengan niat hendak menyebabkan ketakutan dan mendatangkan kegentaran terhadap mangsa itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Bandar, Pulai Chondong di sini pada pukul 2 pagi, 11 September lalu.

Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Hazim Aqiffullah Mohd. Amran mencadangkan hukuman setimpal dengan mengambil pertimbangan bahawa tertuduh dan mangsa mempunyai hubungan suami isteri.

“Perbuatan tertuduh menyebabkan mangsa trauma. Seorang suami sepatutnya menjadi tempat selamat dan pelindung kepada isteri bukannya menyebabkan isteri risau akibat perbuatan yang menakutkan,” katanya.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Norfaraliyana Othman bagaimanapun merayu denda yang minimum dengan alasan tertuduh sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.

“Tertuduh menjual minyak wangi dengan pendapatan RM800 hingga RM1,000 sebulan. Tertuduh juga menanggung isteri dan dua anak. Pengakuan salah yang dibuat menjimatkan masa dan kos semua pihak,” ujarnya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh tidak membayar denda tersebut.

Berdasarkan penyataan impak mangsa, tertuduh mengancam untuk membuang barang-barang dan membakar rumah sewa. Mangsa takut ancaman tersebut akan berlaku terutama apabila dia sekali lagi keluar menziarahi ibu bapanya.

Kebimbangannya menjadi lebih nyata apabila tertuduh kerap menyalakan api di sekitar rumah. Mangsa juga pernah melihat suaminya seolah-olah seronok apabila melihat api menyala. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN