fbpx
Gambar hiasan.

RUU Jenayah Siber dibentang kali pertama, sebar gambar intim berdepan penjara 7 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Individu yang menyebarkan gambar atau video intim termasuk kandungan yang diubah suai secara digital boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda maksimum RM500,000 di bawah Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026.

RUU yang dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi itu memperkenalkan hukuman lebih tegas bagi menangani jenayah siber yang semakin kompleks.

Menurut RUU berkenaan, mana-mana individu yang menghantar, mengedar, menyiar atau menjual imej intim seseorang melalui sistem komputer boleh dipenjara sehingga lima tahun atau didenda maksimum RM300,000 atau kedua-duanya sekali.

Bagaimanapun, hukuman lebih berat menanti pesalah yang melakukan perbuatan itu dengan niat mengaibkan, mengugut atau mendatangkan kemudaratan kepada mangsa apabila boleh dikenakan penjara sehingga tujuh tahun atau denda maksimum RM500,000.

‘Imej intim’ ditakrifkan sebagai rakaman visual termasuk gambar atau video yang bersifat seksual, sama ada asli atau telah diubah, yang memaparkan bahagian seksual seseorang atau melibatkan aktiviti seksual.

Selain isu penyebaran imej intim, RUU itu turut memperuntukkan hukuman terhadap kesalahan kecurian identiti dan penyebaran kandungan palsu berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau deepfake.

Bagi kesalahan kecurian identiti, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun.

Sementara itu, individu yang menghasilkan atau menyebarkan kandungan visual atau audio yang dimanipulasi sehingga menyerupai individu, objek atau peristiwa sebenar bagi tujuan melakukan jenayah turut berdepan hukuman sama.

Ahmad Zahid berkata, RUU Jenayah Siber 2026 digubal bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang dilihat tidak lagi mencukupi untuk menangani ancaman siber semasa.

Katanya, ancaman jenayah siber kini bukan sahaja melibatkan pencerobohan sistem dan kecurian data, malah merangkumi penipuan dalam talian, eksploitasi digital, serangan ransomware serta penyalahgunaan teknologi AI.

“RUU ini penting bagi memastikan negara mempunyai instrumen perundangan yang lebih berkesan untuk mencegah dan memerangi jenayah siber yang berkembang seiring kemajuan teknologi,” katanya.

Beliau berkata, undang-undang baharu itu mengandungi lapan bahagian dan 61 fasal serta akan memperkukuh kuasa kawal selia dan penguatkuasaan berkaitan jenayah siber yang dikendalikan Agensi Keselamatan Siber Negara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN